Keluarga remaja mati ditembak polis di Glenmarie pada 2010 dapat ganti rugi RM1.5 juta

Bernama
Jun 30, 2021 05:15 MYT
Zaid berharap Jabatan Peguam Negara tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu supaya kes dapat menemui titik noktah. - Gambar hiasan
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini telah memberikan ganti rugi lebih RM1.5 juta kepada keluarga tiga remaja yang mati ditembak polis 11 tahun lepas.
Hakim Datuk Khadijah Idris membuat keputusan itu pada Selasa setelah membenarkan rayuan keluarga remaja itu iaitu Muhammad Shamil Shapiei, Mohd Hairul Nizam Tuah dan Muhamad Hanafi Omar.
Peguam Zaid Malek, yang mewakili keluarga remaja itu memberitahu pemberita melalui pesanan WhatsApp semalam bahawa Hakim Khadijah membenarkan rayuan keluarga remaja tersebut untuk mengetepikan keputusan pendaftar Mahkamah Tinggi, yang memberikan 'award' RM207,000 kepada keluarga ketiga-tiga si mati.
"Keluarga itu yang tidak berpuas hati dengan jumlah berkenaan telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam (di hadapan hakim) agar ganti rugi dinilai semula dan sejumlah RM1,519,200 diberikan semalam," katanya.
Pada 11 Ogos 2015, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Rozana Ali Yusoff membatalkan saman itu dan memerintahkan plaintif membayar kos sebanyak RM20,000 kepada defendan.
Namun pada 1 Sept 2016, Mahkamah Rayuan membenarkan tuntutan yang dikemukakan keluarga ketiga-tiga remaja itu dan memutuskan polis bertanggungjawab ke atas tembakan yang meragut nyawa remaja tersebut dan memerintahkan kes didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk penilaian di hadapan pendaftar.
Zaid berharap Jabatan Peguam Negara tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu supaya kes dapat menemui titik noktah.
"Kami juga meminta kerajaan dan polis agar segera mengambil tindakan disiplin dan jenayah terhadap anggota polis yang bertanggungjawab atas perbuatan itu," kata peguam itu.
Beliau berkata daripada award berjumlah RM1,519,299 itu, setiap keluarga akan menerima lebih RM500,000 bagi ganti rugi am, misfeasans awam,ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan sementara RM11,200 lagi tuntutan tanggungan untuk keluarga Mohd Hairul Nizam dan RM8,000 untuk keluarga Muhamad Hanafi.
"Setelah hampir 11 tahun, keluarga mangsa tembakan Glenmarie akhirnya menerima keadilan atas trauma dan kerugian yang mereka alami akibat tindakan polis," katanya.
Saman berhubung dakwaan serangan, memukul dan kecuaian itu difailkan terhadap polis dan kerajaan oleh keluarga Muhammad Shamil, Mohd Hairul Nizam dan Muhamad Hanafi, yang dilaporkan ditembak oleh polis bertugas di Glenmarie, Shah Alam, kira-kira 4 pagi, 13 Nov 2010.
Ketika kejadian Muhammad Shamil berumur 15 tahun, Mohd Hairul 20, dan Muhamad Hanafi Omar, 22.
Keluarga itu sebagai plaintif juga menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia dan pegawai polis yang belum dikenal pasti sebagai defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, plaintif, antara lain mendakwa ketiga-tiga remaja itu meninggal dunia akibat tindakan polis dan tanpa justifikasi.
-- BERNAMA
#Ketua Polis Negara #Peguam Negara #saman #tembakan #trauma #shah alam #Mahkamah Rayuan
;