Keluarga rayu bantuan kerajaan bawa pulang mangsa sindiket pekerjaan di Kemboja

Bernama
Jun 14, 2022 16:00 MYT
Steven (kiri) bersama ahli keluarga mangsa yang merayu bantuan supaya anak mereka diselamatkan dari sindiket penipuan pekerjaan di Kemboja. - Facebook Steven Sim Chee Keong
BUKIT MERTAJAM: Demi mengharapkan pekerjaan yang memberikan gaji lumayan, Tay Poh Chai, 39, berlepas ke Kemboja Disember lepas, namun malang yang menimpa menyebabkan beliau kini hidup dalam tekanan dan terancam di negara asing, menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja.
Ibunya Khor Cha Bo, 68, kini hanya mampu merayu bantuan pihak kerajaan, terutama Kementerian Luar dan polis agar membantu membawa anak lelakinya itu kembali ke tanah air.
Khor berkata anaknya diajak oleh kawannya ke Kemboja kerana mendapat tawaran kerja dalam bidang perjudian atau kasino dalam talian dengan gaji yang lumayan, menjangkau RM8,000 hingga RM9,000 sebulan.
"Anak saya bekerja secara sambilan sebagai juruteknik elektrik di sini dan dia diajak kawan ke Kemboja kerana gaji yang lumayan di sana, tetapi saya dan ahli keluarga yang lain telah nasihatkan agar tidak pergi, namun dia berkeras mahu ke sana sebab boleh kumpul duit serta tambah pendapatan.
"Sepanjang dia di sana, ada beberapa kali kami berhubung dan dia beritahu yang dia berada dalam keadaan baik... sehinggalah 28 Mei lepas dia hubungi kami menerusi aplikasi Wechat dan maklumkan minta pertolongan kewangan AS$15,000 kerana majikan dia beritahu yang dia tidak lagi sesuai untuk kerja itu.
"Wang itu adalah untuk ganti rugi dan majikan mengugut, jika gagal membayar jumlah yang diminta mereka akan jual organ dalaman anak saya... kami bimbang dan takut apa-apa terjadi kepadanya, dan sebab itu saya mohon bantuan kerajaan dan pihak berkuasa untuk selamatkan dia," katanya kepada pemberita dalam sidang media anjuran Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, di sini hari ini.
Khor berkata, Poh Chai ada memaklumkan ketika ini dia tidak lagi bekerja kerana majikannya telah membuangnya dan dia perlu meneruskan hidup, terutama membeli makanan menggunakan wang sendiri yang hampir kehabisan sekarang ini.
"Menurut Poh Chai, semasa bekerja juga gajinya sering dipotong oleh majikan kerana mendakwa dia buat salah ketika kerja jadi setiap bulan gajinya sedikit sahaja... sekarang ini dia dikurung di satu kawasan dan sentiasa diawasi pihak majikannya," katanya.
Abang kepada Poh Chai, Poh Heng berkata adiknya turut memaklumkan dia pernah diseksa dengan renjatan elektrik dan bukan hanya dia seorang rakyat Malaysia di sana, (Kemboja) malah terdapat ramai juga lagi mengalami nasib sepertinya.
Sementara itu Steven berkata beliau terus menghubungi pejabat Menteri Luar sebaik menerima maklumat daripada keluarga Poh Chai yang memohon pertolongan semalam supaya tindakan segera dapat diambil.
April lepas 12 rakyat Malaysia yang diperdaya dengan iklan peluang pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang menawarkan gaji lumayan di Kemboja, berjaya dibawa pulang ke tanah air, hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), polis Kemboja, Polis ASEAN (Aseanapol) dan Wisma Putra.
-- BERNAMA
#sindiket penipuan #tawaran pekerjaan #Kemboja #kerajaan
;