Keluarga, rakan sedia skrin besar saksi siaran langsung Anugerah Puskas
Bernama
Januari 8, 2017 06:31 MYT
Januari 8, 2017 06:31 MYT
Keluarga dan rakan-rakan Mohd Faiz Subri akan menyediakan sebuah skrin besar di halaman rumah bapanya di Kampung Tok Kepak, Ayer Hitam, tengah malam esok bagi menyaksikan pengumuman secara langsung keputusan Anugerah Puskas FIFA.
Bapanya, Subri Kader, 64, berkata beliau menjemput rakan-rakan Mohd Faiz dan peminat bola sepak untuk datang ke rumahnya beramai-ramai untuk menonton siaran langsung itu.
"Saya juga ada menyediakan nasi lemak untuk mereka (penonton)," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Mohd Faiz bersama dua lagi calon Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela bersaing pada anugerah berprestij itu bagi merangkul anugerah untuk gol tercantik sepanjang 2016.
Anugerah Puskas dijadualkan disampaikan di Zurich, Switzerland Isnin ini atau awal Selasa di Malaysia pada upacara penyampaian Anugerah Bola Sepak Terbaik FIFA 2016.
Dalam pada itu, ibu kepada pemain Pulau Pinang tersebut, Saadiah Ishak, 55, tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk anaknya menjulang anugerah berprestij itu.
Namun, beliau dan suami tetap berdoa agar anugerah itu berada dalam dakapan Mohd Faiz dan bersyukur kerana anaknya berjaya ke peringkat akhir.
"Saya juga menerima apa sahaja keputusan yang akan diumumkan pada majlis itu nanti," katanya.
Subri pula berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mendoakan kejayaan anaknya itu dan berharap dengan izin Allah dan berkat doa semua peminat, Mohd Faiz mampu mengharumkan nama Malaysia.
Setakat 3 petang Ahad, video yang mula dimuat naik FIFATV di YouTube pada 21 Nov tahun lepas terus mencuri tumpuan peminat apabila ia ditonton 2,362,950 kali.
Ia jauh meninggalkan video aksi jaringan Johnath dan Daniuska. -- BERNAMA