Keluarga pengasas Dnars buat laporan SPRM pula
Wanna Abd Rahim
Jun 19, 2022 19:30 MYT
Jun 19, 2022 19:30 MYT
KOTA BHARU: Selepas laporan polis meminta siasatan dijalankan secara telus membabitkan kematian pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad, keluarganya hari ini tampil membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pula.
Abang sulung Allahyarham, Mohd Faisal Rohban Ahmad, 48, yang ditemani peguam dilantik keluarganya, Lt Kol (B) Azhar Ahmad, hadir ke pejabat SPRM Kelantan pada jam 2.30 petang tadi.
Azhar berkata, laporan itu adalah berkaitan urusan membawa pulang jenazah Allahyarham ke Malaysia yang didakwa mencurigakan, pada 2019.
"Daripada maklumat yang telah dikumpulkan, ada unsur ketidakpatuhan kepada prosedur membawa masuk jenazah Allahyarham dari Thailand pulang ke rumahnya di Tumpat.
"Pihak kami sudah melengkapkan laporan (berkaitan dakwaan itu) yang dikemukakan kepada SPRM dan mengharapkan siasatan terperinci dapat dilakukan.
"Dalam laporan tersebut, antara isi kandungannya... berdasarkan maklumat yang telah diterima daripada Pejabat Kesihatan Pasir Mas, ia tidak memuaskan hati ahli keluarga.
"Ia melibatkan urusan permit import, di mana ia tidak dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya di sini, pada Ahad.
Jelas Azhar, permit import yang dikeluarkan hendaklah mengikut syarat-syarat wajib dan perlu mendapatkan surat dari Pejabat Konsulat di Songkhla.
Baru-baru ini, keluarga Allahyarham membuat laporan polis kerana mengesyaki terdapat terdapat unsur meragukan berhubung kematian usahawan produk kecantikan itu.
Faziani maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand kira-kira jam 10.30 pagi pada 19 Mei 2019 selepas Toyota Estima dipandu suaminya merempuh belakang lori dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan zakat di Pondok Krong, Yala.