Keluarga pemandu teksi pajak hadapi cabaran tanggung anak cacat

Bernama
April 27, 2015 15:27 MYT
Sepasang suami isteri di sini perlu menanggung dugaan mencabar berikutan anak ketiga mereka lahir dalam keadaan cacat pada awal tahun ini.
Sepasang suami isteri di sini perlu menanggung dugaan mencabar berikutan anak ketiga mereka lahir dalam keadaan cacat pada awal tahun ini.
Yusmadi Yaafar, 31, seorang pemandu teksi pajak dan isterinya, Nor Suhaila Hamid, 33, terpaksa menanggung perbelanjaan tambahan yang agak tinggi berikutan anak ketiga mereka, Nur Afeeya, dilahirkan tanpa cuping dan lubang telinga, serta sumbing dan rosak mata kiri.
Nur Afeeya yang dilahirkan 19 Jan lepas mengalami masalah jantung berlubang dan memerlukannya untuk dirujuk ke hospital di Alor Setar dan Pulau Pinang untuk menerima rawatan pakar.
"Saya dimaklumkan Hospital Langkawi tidak ada doktor pakar untuk merawat anak saya. Jadi kenalah dibawa ke Alor Setar (untuk rawatan pakar kecacatan muka) dan Pulau Pinang (rawatan pakar jantung)," kata Nor Suhaila ketika ditemui di sini semalam.
Nor Suhaila berkata sebelum ini dia bekerja sebagai juruwang di sebuah kedai di lapangan terbang di sini namun terpaksa berhenti untuk memberi lebih perhatian kepada Nur Afeeya.
Nor Suhaila berkata selain Nur Afeeya, dia dan Yusmadi mempunyai dua orang anak lagi masing-masing berumur tujuh dan enam tahun.
Menurutnya pendapatan Yusmadi sebagai pemandu teksi tidaklah seberapa memandangkan teksi yang digunakan bukanlah miliknya tetapi dipajak oleh orang lain.
"Kalau saya menjaga Nur Afeeya dekat sini, suami sayalah yang kena jaga anak-anak kami yang lain. Tak dapatlah dia bawa teksi pada masa itu," katanya.
Sementara itu, penderitaan keluarga ini mendapat perhatian Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Kuah, Nor Saidi Nanyan yang menyampaikan sumbangannya selain memulakan tabung khas di Pusat Khidmat Rakyatnya di sini untuk membantu mereka.
"Saya juga sudah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi membantu keluarga ini dan meminta pihak hospital yang terlibat untuk sama-sama menyokong usaha ini," katanya.
Orang awam yang ingin menghulurkan bantuan kewangan terus kepada keluarga itu boleh menyalurkannya ke akaun Maybank Yusmadi bernombor 152077272709.
#anak cacat #nur afeeya #pemandu teksi #sumbing #tanpa cuping
;