Keluarga pemandu lori sedih, mungkin ambil tindakan undang-undang
Dewi Nur Harasha Alias
November 17, 2019 18:33 MYT
November 17, 2019 18:33 MYT
"Sukar untuk kami sekeluarga terima apabila insan yang mencari rezeki keluarga selama ini terpaksa menanggung derita apabila kakinya terpaksa dipotong gara-gara kecuaian orang lain."
Demikian luahan hati Siti Balkis Muhtar, 29, anak sulung kepada Mukhtar Bahari pemandu lori yang kudung kaki selepas parah dirempuh kereta dalam kemalangan di Jalan Anson, Pulau Pinang Jumaat lepas.
Dia yang ditemui di Hospital Pulau Pinang (HPP) berkata biarpun sedih dengan kejadian itu namun tetap bersyukur kerana bapanya terselamat biarpun sebelah kaki terpaksa dipotong.
Menurut Siti Balkis, bapanya seorang pekerja yang bertanggungjawab, suka bekerja dan tidak boleh duduk diam malah niat baik bapanya untuk membantu rakan sekerjanya pada hari kejadian mengundang musibah.
Mengakui terkilan dengan kejadian itu, Siti Balkis berkata keluarganya mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang terlibat berikutan keadaan bapanya yang terpaksa menanggung derita akibat kecuaian pihak lain.
Ujarnya, kejadian yang berlaku telah mengubah kehidupan bapanya serta keluarganya yang selama ini mencari rezeki sebagai pemandu lori.
"Masa tu dia turun (dari kenderaan) nak bantu cepatkan kerja dia, (tapi) tak sangka ada orang langgar macam tu. Dia tak sedar masa kejadian, dia terkejut masa tu. Yang dia ingat ada pegawai bomba bisik 'pakcik, sabar, ingat Allah.
"Memang kalau boleh nak (ambil tindakan kepada suspek yang melanggar). Kakinya sudah tidak ada macam ni, Dia pun selama ni aktif dan tidak akan berehat selagi sedang bekerja, sejak 20 tahun. Ayah saya jenis yang bertangggungjawab," luah Siti Balkis.
Tambah Siti Balkis, buat masa ini bapanya masih berada di HPP kerana masih perlu menerima rawatan dan hanya akan dibenarkan pulang selepas keadaan pulih.
Dalam pada itu, beliau berharap tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap individu yang menyebabkan kemalangan tersebut.
Buat masa ini katanya, anak sulung dari dua adik beradik itu terpaksa mengambil alih tugas mencari rezeki memandangkan ibunya tidak bekerja dan keadaan bapanya yang kini terlantar di hospital.
Dalam kemalangan 6.40 pagi Jumaat, Mukhtar Bahari, 62, parah dikaki kiri selepas dirempuh kereta dipandu wanita Vietnam itu.
Ketika kejadian mangsa yang juga pemandu lori sampah syarikat pembersihan sedang memungut sampah di bahagian belakang kenderaannya yang di parkir di bahu jalan di Jalan Anson.
Akibat kejadian itu, kaki kiri Mukhtar terpaksa dipotong daripada bahagian peha berikutan tulangnya hancur.
#Jalan Anson
#keluarga mangsa
#kemalangan
#pemandu lori
#pulau pinang
#saman
#tindakan undang-undang