Keluarga pelajar maut dilanggar mula terima kenyataan

Abd Razak Mohd Ali
Disember 18, 2023 09:15 MYT
Abang mangsa, Zarul Fitri Muhd Zamrie yang tiba di mahkamah jam 8.45 pagi ditenangkan rakannya.
IPOH: Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar yang maut akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat, mula dapat menerima kehilangannya.
Bapa saudara mangsa, Abdul Razak Judin, 48, berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian pelajar itu.
“Setakat ini ibu bapa dan keluarga mangsa Alhamdulillah sudah boleh menerima apa yang telah berlaku dan kita semua reda dengan pemergian arwah," katanya ketika ditemui pemberita di luar pekarangan Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.
Abdul Razak tiba di mahkamah kira-kira jam 8 pagi, bersama-sama dua saudaranya, Mohd Nizam Abdullah, 43 dan Ahmad Faizal Jaafar, 47 bagi mewakili keluarga sebagai pemerhati.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan kerana ia akan dilakukan peguam yang telah dilantik.
Sementara itu, pekarangan Mahkamah Majistret di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab, mula dipenuhi oleh orang ramai untuk melihat apa yang berlaku.
Ekoran daripada itu, kawalan keselamatan turut ditingkatkan, termasuk memastikan kelancaran trafik di hadapan bangunan mahkamah.
Kelihatan puluhan pegawai dan anggota polis ditugaskan mengawal keselamatan dan kehadiran orang ramai.
#pelajar SPM dilanggar #pegawai polis didakwa #mahkamah majistret ipoh #pelajar dilanggar mati
;