Keluarga pelajar maut dilanggar lari mahu keadilan
Sinar Harian
Disember 16, 2023 08:20 MYT
Disember 16, 2023 08:20 MYT
IPOH: "Siapapun pelakunya, saya mahu keadilan terhadap kematian adik saya".
Itu harapan disuarakan kakak kepada Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar yang maut akibat dilanggar dan diseret sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 tengah hari itu, mangsa yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati maut di lokasi kejadian selepas motosikalnya dikejar dan dilanggar dari arah belakang sebuah kereta dipandu seorang lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan sebelum kejadian, berlaku keadaan tidak puas hati membabitkan pemandu kereta berkenaan dipercayai seorang anggota polis dengan mangsa kerana membuat bising motosikal.
Nur Zawani, 28, mahu siasatan terhadap kes itu dapat dijalankan dengan adil meskipun individu terlibat merupakan seorang anggota polis.
"Kalau adik buat salah sekalipun, datang jumpa mak ayah saya. Kalau nak letak dia kat lokap pun tak mengapa daripada diperlakukan begitu (dilanggar).
"Bukan hak dia untuk buat begitu, saya harap sangat, ada keadilan terhadap adik saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada Jumaat.
Nur Zawani yang bekerja sebagai jururawat berkata, kehilangan adik bongsu daripada empat beradik itu benar-benar memberi kesan mendalam kepada mereka sekeluarga terutama ibu dan bapanya.
Apatah lagi menurutnya, bapanya yang membuka gerai makan tidak jauh dari lokasi turut berlari ke tempat kejadian dan menjadi saksi pemergian arwah.
"Secara kebetulan saya ada dekat kawasan kerana mahu menghantar anak. Ada orang beritahu adik saya terlibat kemalangan menyebabkan saya segera mendapatkannya yang dikerumuni ramai orang.
"Saya pangku kepalanya dan dapati dia masih bernyawa, saya cuba selamatkannya dengan memberi bantuan pernafasan (CPR), tetapi tiada tindak balas.
"Melihat keadaan itu, seorang ustaz yang mengajar di sekolah membantu adik mengucap. Ayah saya juga lakukan perkara sama, sampailah dia benar-benar pergi," katanya.
Jenazah mangsa telah dituntut ahli keluarga sekitar jam 6.30 petang sebaik proses bedah siasat selesai dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar. - Sinar Harian