Keluarga pekerja am menang saman kes kematian dalam tahanan

Bernama
Ogos 13, 2019 06:00 MYT
Kelihatan Rahaya (kanan) bersama keluarganya ditemu bual oleh para pengamal media di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Selasa. --fotoBERNAMA
Keluarga pekerja am Kamarulnizam Ismail memenangi kes saman mereka di Mahkamah Tinggi di sini terhadap 12 individu dan kerajaan kerana kematiannya di Penjara Tapah kira-kira lima tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Anslem Charles Fernandis, dalam penghakimannya pada Selasa, berkata kesemua defendan bertanggungjawab atas kecuaian yang mengakibatkan kematian Kamarulnizam pada 7 Mac 2014.
Beliau memerintahkan keluarga Kamarulnizam dibayar RM100,000 kerana penahanannya yang menyalahi undang-undang, RM50,000 bagi salah laku dalam jawatan awam, RM12,000 bagi kos perbicaraan penuh dan RM2,000 bagi perbelanjaan pengebumian.
Menurut Anslem, selepas Kamarulnizam dijatuhi hukuman penjara 14 hari, dia ditahan di lokap balai polis Seberang Prai selama dua hari sebelum dipindahkan ke Penjara Tapah pada 6 Mac.
Hakim itu menyifatkan penahanan Kamarulnizam di dalam lokap adalah menyalahi undang-undang kerana berdasarkan Seksyen 282 Kanun Tatacara Jenayah, adalah mandatori, apabila terdapat perintah, bagi pegawai polis untuk bertindak dalam tempoh masa yang munasabah, untuk memindahkan mereka yang didapati bersalah ke penjara, dan bukannya selepas dua hari.
Mahkamah Majistret di Pulau Pinang menjatuhi hukuman penjara ke atasnya setelah dia tidak dapat membayar denda RM800 selepas mengaku bersalah memiliki barangan curi pada 4 Mac, 2014.
Anslem juga berkata pegawai warden di Penjara Tapah sepatutnya mengawasi Kamarulnizam dan lebih berwaspada selepas dia diberi ubat untuk cirit-birit.
Mengenai punca kematian, Anslem berkata beliau bersetuju dengan dapatan ahli patologi selepas memeriksa mayat dan keputusan bedah siasat bahawa Kamarulnizam meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru.
Ibu Kamarulnizam, Rahaya Salleh, 69, memfailkan saman itu menerusi peguam M. Visvanathan terhadap pihak-pihak berkenaan pada 3 Mac 2017 dan memohon ganti rugi bagi tanggungan, salah laku dalam jawatan awam, ganti rugi teruk, teladan dan khas.
Mereka memfailkan saman itu kerana tidak berpuas hati selepas mendapati lebam di beberapa bahagian badannya.
Rahaya, ketika ditemui pemberita, berkata beliau bersyukur kerana perjuangan mereka membuahkan hasil dan keadilan telah ditegakkan.
-- BERNAMA
#bedah siasat #jangkitan paru-paru #jenayah #Kamarulnizam Ismail #keluarga #kematian #lebam #lokap #mahkamah #mati dalam tahanan #memiliki barangan curi #menang saman #meninggal dunia #menyalahi undang-undang #pekerja am #penjara #Rahaya Salleh
;