Keluarga Noor Fikrie kesal digelar pengganas

Bernama
Disember 20, 2012 11:01 MYT
Keluarga Mohd Noor Fikrie Abd Kahar, 26, rakyat Malaysia yang mati ditembak polis Filipina di Davao, Jumaat lalu terkilan kerana Allahyarham dilabelkan sebagai pengganas.
Menurut adik mangsa, Mohd Noor Hafiz, 24, mereka sekeluarga amat kesal dengan gelaran tersebut sedangkan pihak berkuasa Filipina hanya menggelar abangnya sebagai suspek.
"Walaupun dengan satu perkataan, namun ia sudah cukup mencemar dan menjatuhkan imej kami sekeluarga," katanya yang menyifatkan arwah sebagai seorang abang dan ayah yang baik, bertanggungjawab selain mudah tersenyum.
Beliau yang kelihatan hiba selepas pengkebumian abang sulungnya itu di Tanah Wakaf Perkuburan Islam Kampung Parit Abdul Rahman di Pontian pagi ini berharap, arwah tidak lagi dilabelkan dengan panggilan itu.
Turut hadir pada majlis pengkebumian Allahyarham ialah isteri Siti Sarah Raihana dan tiga anak iaitu Aina Sofia, 6, Aisyah Nadia, 5 dan Yati Izati, 4, serta ibu bapa Allahyarham.
Juga baca http://www.astroawani.com/news/show/jenazah-militan-dikebumi-di-pontian-2342
#Filipina Davao #Noor Fikrie #pengganas #Pontian #suspek
;