Keluarga nafi ADUN Melor meninggal akibat vaksin COVID-19

Bernama
April 30, 2021 18:26 MYT
Keluarga Md Yusnan Yusof menafikan Allahyarham meninggal dunia disebabkan menerima suntikan vaksin COVID-19.
KOTA BHARU: Keluarga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Melor, Md Yusnan Yusof menafikan Allahyarham meninggal dunia disebabkan menerima suntikan vaksin COVID-19.
Anak kedua Allahyarham Md Yusnan, Mohammad Baihaqi, 28, juga kesal dengan pihak yang mengaitkan punca kematian bapanya dengan pengambilan vaksin.
"Kami menafikan perkhabaran yang menyatakan baba meninggal dunia setelah mengambil suntikan vaksin COVID-19 kerana beliau (arwah) sudah lama menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis.
"Ada beberapa orang yang menulis di media sosial mengaitkan dengan suntikan tersebut. Memang baba ada ambil suntikan tetapi yang terakhir pada 9 April lalu," katanya kepada pemberita selepas pengebumian jenazah bapanya di Tanah Perkuburan Islam Pondok Haji Hasan, Ketereh di sini hari ini.
BACA:
Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Adun Melor
BACA: ADUN Melor Md Yusnan Yusof meninggal dunia
Jenazah Md Yusnan yang juga Timbalan Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, selamat dikebumikan pada kira-kira 2.30 petang tadi.
Allahyarham Md Yusnan meninggal dunia di kediamannya di Melor di sini, selepas mengalami serangan jantung pada 2.28 pagi tadi.
Sementara itu, balu Allahyarham, Romaini Mat Daud, 52, berkata, arwah suaminya sempat bergurau dengan anak-anak yang sibuk menyediakan puding di dapur pada sebelah malam.
"Arwah buat-buat mengintai sambil menyorok di belakang pintu sambil melihat anak-anaknya memasak dan dia nampak gembira," katanya.
Bercerita lanjut, Romaini berkata, sebelum tidur beliau sempat mengingatkan arwah agar mengambil suntikan insulin untuk penyakit diabetes yang dihidapi Allahyarham sejak dua tahun lepas.
"Sebelum saya tidur, saya lihat arwah belum tidur dan masih mengemas kini Facebook bagi peringatan Hari Nuzul al-Quran.
"Sebaik sahaja tersedar, saya melihat beliau rebah di tepi katil sambil menyebut 'Allahuakbar' dan kelihatan seolah-olah terkena angin ahmar kerana tangannya kejang dan lidah seperti tertarik," katanya. - BERNAMA
#ADUN Melor #Md Yusnan Yusof #COVID-19 #suntikan vaksin COVID-19 #jantung #darah tinggi #kencing manis
;