Keluarga mohon doa keselamatan buat mangsa culik

Sinar Harian
September 17, 2022 08:00 MYT
Antara tomahan netizen yang menyebabkan kesedihan kepada ahli keluarga Rosnazirah ketika menantikan perkembangan mengenai mangsa. - Foto Sinar Harian
TUMPAT: Keluarga mangsa culik di Kampung Semat Jal, di sini meminta rakyat Malaysia mendoakan keselamatan wanita itu, selain mengharapkan supaya menghentikan segala tohmahan.
Adik lelaki mangsa yang berusia 25 tahun berkata, mereka belum menerima apa-apa berita berkaitan Rosnazirah Mohd Naim, 36, dan mengharapkan sesuatu yang baik berlaku.
BACA: "Harap kakak selamat, hentikan sebarang spekulasi" - Adik wanita diculik
Katanya, ibu bapa mereka berterusan bersedih dan menangisi kejadian tersebut sehingga tidak dapat tidur lena kerana bimbang keselamatan ejen jualan barangan kosmetik yang diculik sejak 13 September lalu itu.
“Kami bersedih, ayah dan ibu tak henti-henti menangis dan bertambah sedih apabila membaca tomahan-tomahan netizen terhadap kakak di media sosial sedangkan kami sekeluarga ternanti-nantikan perkembangan berita yang baik daripada mangsa.
“Saya merayu kepada semua, tolong hentikan segala fitnah dan tomahan terhadap kakak saya sebaliknya saya memohon supaya rakyat Malaysia mendoakan keselamatan dia,” katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal, di sini, pada Jumaat.
Adik lelaki mangsa itu juga turut meminta kerjasama daripada semua pihak supaya berhenti mengambil gambar-gambar mangsa di akaun Facebook wanita dan tidak menyebarkannya bagi tujuan tidak baik.
“Kami sedang berusaha bekerjasama dengan pihak polis untuk menukar mod peribadi akaun Facebook mangsa supaya gambarnya tidak digunakan dengan sewenang-wenangnya.
“Mangsa ada anak anak perempuan berusia 13 tahun yang juga masih lagi bersedih serta trauma melihat ibu sendiri dilarikan oleh kumpulan lelaki yang bersenjata di rumah sendiri malah kerap bertanya pada saya kesahihan tuduhan-tuduhan terhadap ibunya di media sosial,” katanya.
Mengulas lanjut, dia turut sedih dan kesal apabila Facebook kakaknya diserang netizen dengan kata-kata kesat dan berbaur lucah.
Menurut anak ke-10 daripada 11 beradik itu, dia sangat rapat dengan mangsa yang juga anak keenam dalam keluarga kerana bersama-sama menjaga ibu bapa mereka selain dia turut menjadi ejen jualan barangan kosmetik di bawah kakaknya itu.
“Kakak yang memasak untuk kami sekeluarga di rumah ini. Dia yang banyak berusaha dalam perniagaan kosmetik untuk menyiapkan rumah untuk kami.
“Dia seorang yang lemah lembut, kalau tengok filem ganas sikit pun dia boleh takut dan menangis. Saya tak dapat bayangkan macam mana traumanya dia ketika ini,” katanya.
Dia turut mengakui keluarganya itu hanya orang kampung biasa yang mengusahakan perniagaan cendol di Pasar Wakaf Bharu di sini sejak lebih 30 tahun lalu.
Dalam laporan media pada Rabu lalu, seorang wanita berusia 36 tahun dipercayai diculik dalam kejadian di Kampung Semat Jal, Palekbang di sini pada Selasa.
BACA: Punca wanita diculik dipercayai ada kaitan dengan sindiket pengedaran dadah - Polis
Video Tular | Polis sahkan terima laporan dakwaan wanita diculik
Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, mangsa, Rosnazirah Mohd Naim didakwa dilarikan empat lelaki dengan menggunakan kereta jenis Toyota Vios berwarna perak. - Sinar Harian
#culik #Tomahan #netizen #Rosnazirah Mohd Naim
;