Keluarga mohon bantuan tampung kos bawa pulang jenazah Rabitah dari Australia

Adie Sufian Zulkefli
Februari 9, 2021 18:17 MYT
Menurut abang ipar Allahyarham, Mukhti Mat Jusoh, 58, kini pihak keluarga sedang berhubung dengan Wisma Putra dan majikan arwah untuk menguruskan perkara itu. - Foto Astro AWANI
KULIM: Anggota keluarga meletakkan harapan tinggi untuk dapat membawa pulang jenazah Rabitah Hamed, 49, yang maut dalam kemalangan di Griffith, Australia pada Isnin untuk disemadikan di kampung halamannya di Pekan Ayer Hitam, Jerlun.
Menurut abang ipar Allahyarham, Mukhti Mat Jusoh, 58, kini pihak keluarga sedang berhubung dengan Wisma Putra dan majikan Allhayarham untuk menguruskan perkara itu.
Mukhti berkata, keluarga dimaklumkan oleh Wisma Putra bahawa kos untuk membawa pulang jenazah Allahyarham Rabitah adalah sebanyak RM50,000.
"Ketika ini kami sedang cari dana tu. Saya dengar anak (Allahyarham) merayu (bantuan), mencari pada adik beradik, sahabat handai yang ada mana boleh bantu. Carikan RM50,000," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Katanya lagi jenazah Rabitah kini berada di Hospital Newcastle, Australia untuk proses bedah siasat.
Kali terakhir pihak Wisma Putra menghubungi keluarga adalah kira-kira 9 pagi hari ini untuk meminta keizinan untuk proses bedah siasat dan proses untuk membawa pulang jenazah ke tanah air.
Dalam kejadian semalam Rabitah maut setelah terlibat dalam kemalangan dipercayai cuba mengelak haiwan yang melintas di Griffith, Australia.
Mangsa dikatakan maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar dari kereta dipandunya lalu terjatuh di dalam tali air berdekatan.
#Wisma Putra #keluarga #kemalangan #maut #Griffith #Australia #jenazah #Rabitah Hamed
;