Keluarga meragui kematian pengasas produk Dnars Skincare
Wanna Abd Rahim
Jun 16, 2022 23:49 MYT
Jun 16, 2022 23:49 MYT
KOTA BHARU: Ahli keluarga terdekat pengasas Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada Mei 2019 lalu, mengesyaki terdapat terdapat unsur meragukan berhubung kematian usahawan produk kecantikan itu.
"Hasil siasatan peguam yang dilantik selama tiga tahun ini, kematian kemalangan maut itu disyaki terdapat unsur meragukan.
"Semenjak dari kematian arwah kita melantik peguam untuk menyiasat hal ini. Dalam tempoh itu pula kebetulan berlaku pula PKP. Pergerakan semua terbatas. Namun, setelah diteliti oleh peguam melalui bukti, menerusi pertemuan dengan saksi, di mana peguam telah pergi ke Thailand baru-baru ni dan mendapati ada asas untuk dibuat laporan polis kerana mendapati kematian Allahyarham diragui.
"Kita serahkan kepada kebijaksanaan polis untuk menyiasat hal ini dan untuk mencari keadilan, dan juga kebenaran. Kita tidak menuduh sesiapa membunuh arwah atau melakukan sabotaj, cuma minta siasatan dilakukan ke atas asas-asas yang kita berikan," katanya ketika dihubungi selepas selesai memberikan maklumat berhubung laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada Khamis.
Satu laporan polis telah dibuat pada tengah hari Khamis bagi menuntut siasatan lanjut ke atas kematian Allahyarham yang disyaki meragukan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis yang dibuat keluarga Allahyarham.
Kisah pemergian pengasas produk kecantikan, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad telah mengejutkan ramai pihak tiga tahun lalu.
Faziani maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand kira-kira jam 10.30 pagi pada 19 Mei 2019 selepas Toyota Estima dipandu suaminya merempuh belakang lori dalam perjalanan untuk menyampaikan sumbangan zakat di Pondok Krong, Yala.