Keluarga mata biru menawan curi tumpuan
Sinar Harian
Jun 4, 2022 09:30 MYT
Jun 4, 2022 09:30 MYT
BALING: Sebuah keluarga di Kampung Chenerai di sini mencuri tumpuan berikutan dianugerahkan anak mata berwarna biru sejak lahir.
Siti Eshiah Ismail, 73, yang mesra digelar 'tok' menjelaskan, pernah ditanya sama ada kerap menonton filem atau meminati aktres 'Hollywood' sehingga menyebabkan anak kedua daripada empat beradik, Ahmad Zailani Dollah, 52, memiliki mata berwarna biru.
"Bila pi kenduri depa (mereka) tanya, tok tengok cerita orang putih ka?
"Masa tu mana ada televisyen...mata tok pun biru, tetapi warna hitam lebih besar dari biru, lama-lama jadi kelabu," katanya.
Menurut Siti Eshiah, arwah ibunya turut memiliki warna mata sepertinya iaitu hitam dan biru.
"Tok tak pasti ada perkahwinan campuran atau keturunan dari negara lain sebab orang tua dulu tak pernah cerita apa pun, tetapi penduduk di sini ada juga asal-usul dari negara Thailand," jelasnya.
Katanya, dua orang sepupu Ahmad Zailani turut memiliki keistimewaan sama, namun hanya sebelah mata berwarna biru manakala sebelah lagi berwarna hitam.
Siti Eshiah bagaimanapun tidak terduga apabila dua orang cucunya, Umi Aqilah, 19, dan Muhammad Safwan, 13, turut mewarisi bapa mereka, dianugerahkan sepasang mata berwarna biru.
Umi Aqilah yang kini sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ketika ditemui menjelaskan, ramai rakan teruja melihat matanya dan tidak kurang juga yang ingin bergambar bersama.
Gadis jelita yang merupakan bekas pelajar aliran khas Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar, Sungai Petani berikutan masalah pendengaran dan pertuturan, menggunakan bahasa isyarat untuk berkomunikasi memiliki mata menawan yang memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.
Meminati bidang kulinari dalam penyediaan kek dan pastri, Umi Aqilah menyatakan keinginan melanjutkan pengajian dalam kemahiran berkenaan sekiranya diberi peluang.
Sinar Harian yang mengunjungi keluarga itu di rumah mereka, terpaksa berkomunikasi secara tulisan bagi membolehkan Umi Aqilah yang sentiasa tersenyum, menjawab pertanyaan wartawan.
Agak pemalu pada permulaan, anak keempat daripada tujuh beradik itu sebenarnya mudah mesra setelah didekati.
Adiknya, Muhammad Safwan yang merupakan anak kelima, belajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Siong, Baling, Kedah.
Menurutnya, disebabkan mempunyai kelainan warna mata menyebabkan dia sering menjadi tumpuan ketika berada di sekolah mahupun di luar.
Oleh kerana sentiasa diingatkan agar merendah diri dan bersyukur dengan anugerah tersebut, mereka tidak pernah menghampakan permintaan orang ramai yang ingin bergambar bersama.
Katanya, sejak kecil dia sering menjadi tumpuan, namun gembira apabila rakan dan guru tidak pernah membezakannya dengan orang lain.
Sementara itu, ibu mereka, Eshah Mat Hassan, 45, berkata, dia hanya menyedari mata anak berwarna biru semasa dalam pantang selepas melahirkan.
"Tidak terkejut sebab ayah mereka (suami) dan tok (ibu mertua) pun mata biru," jelasnya.
Eshah berkata, dia pernah ditegur apabila orang sekeliling menganggap mereka memakaikan kanta lekap pada kedua-dua anak yang masih kecil kerana boleh merosakkan mata.
"Pernah juga orang tegur masa bawa anak ke klinik sebab demam, mereka kata demam sampai biru naik ke mata.
"Saya beritahu, mata anak memang dah biru semula jadi sejak lahir," katanya.
*Berita asal di Sinar Harian