Keluarga masih berharap 'Aca' selamat
Bernama
Mac 22, 2018 05:00 MYT
Mac 22, 2018 05:00 MYT
Ahli keluarga Mohd Akashah Azizan, 25, seorang daripada 14 kru kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 yang dipercayai masih terperangkap dalam perut kapal tersebut masih berharap beliau yang dipanggil Aca selamat dan pulang ke pangkuan keluarga.
Azral Azizan, 37, abang sulung mangsa berkata harapan itu diletakkan kerana beliau tahu adiknya adalah seorang yang kuat dan tidak pernah berputus asa dalam menempuh sebarang cabaran.
Beliau merupakan antara anggota keluarga terawal yang mengetahui berita mengenai adik kelimanya itu.
"Majikannya menelefon dan memaklumkan saya mengenai kejadian yang menimpa. Masa mula-mula terima berita ini memang tak tahu nak fikir apa dah.
"Keluarga masih berharap Aca selamat..saya percaya dia kuat. Insha-Allah, dia akan selamat," katanya ketika ditemui di lokasi Pos Kawalan SAR Pantai Leka dekat sini pada Khamis.
Azral berkata semangat adiknya itu berdepan cabaran di lautan tidak dapat disangkal apabila sebelum ini mangsa pernah ditinggalkan berseorangan di tengah perairan hampir seminggu.
"Bayangkan cabaran semasa dia ditinggalkan berseorangan di atas kapal ketika berada di perairan berhampiran pelabuhan Pasir Gudang langsung tidak meruntun semangatnya. Malah, Aca juga kelihatan tenang tatkala berjaya diselamatkan.
"Sememangnya dia seorang yang kuat semangat sebab bukan sekali dua dia berhadapan pengalaman getir di lautan, tapi lebih kurang tiga kali," katanya yang bekerja di Putrajaya.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha pihak berkuasa menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR), Azral merakamkan penghargaan selain yakin dengan bantuan pihak berkaitan yang bertungkus lumus menjayakan operasi sejak lebih 24 jam lalu.
Pada Rabu, pasukan SAR menjumpai empat anak kapal warga China dengan seorang daripadanya meninggal dunia, namun dipercayai 14 kru masih terperangkap dalam kapal tersebut.
-- BERNAMA