Keluarga mangsa maut kemalangan bas mahu bukti pemandu kedua
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 27, 2016 11:31 MYT
Disember 27, 2016 11:31 MYT
Keluarga pemandu bas ekspres, Zakeer Zubir yang maut dalam kemalangan di Pagoh Johor Sabtu lalu mahu majikannya mengesahkan kehadiran pemandu kedua ketika kejadian.
Ibu mangsa, Rashidah Abd Rahim mendakwa anaknya telah memandu bas sejak seminggu lalu sendirian tanpa pemandu kedua.
Jelasnya, anaknya membuat keputusan membawa isteri bagi menemani mangsa ke Johor pada hari kejadian.
Rashidah menuntut kebenaran supaya syarikat terbabit bersama pemandu kedua untuk tampil memberi penjelasan.
"Kalau betul, saya minta surat jadual kerja dia, jam berapa dia berkerja, saya hendak tengok kerana saya tidak berpuas hati. Anak saya seorang diri memandu hampir seminggu dan tiada pengganti.
"Anak saya ingat pasal duit, dia pernah berkata tak apa saya dapat duit lebih dan saya nak pemandu kedua yang dikatakan dia halau, nama pemandu itu kerana kami juga ingin tahu kerana saya tidak puas hati, anak saya seorang sahaja yang memandu bas itu", katanya di tempat kediamannya di sini.
Beliau berkata ketika mengulas kenyataan Ketua Penyelia Wilayah Selatan Goldstar Ekspres ( M ) Sdn Bhd Steven Chong susulan bas itu mempunyai pemandu kedua .
Pemandu kedua, Muhammad Saufee telah diturunkan di Pulau Pinang selepas bas bertolak keluar dari Terminal Bas Sungai Nibong bagi Zakeer membawa isteri dan anak perempuannya menaiki bas berkenaan ke Johor sebelum berpatah balik .
Allahyarham Zakeer adalah pemandu utama bas ekspres terbabit dalam kemalangan di KM 137.3 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, Pagoh yang mengorbankan dirinya dan 14 penumpang termasuk anak perempuannya.
16 yang lain cedera apabila bas berkenaan terjunam ke dalam gaung sedalam 10 meter pada jam 3.40 pagi Sabtu.