Keluarga mangsa kanak-kanak Orang Asli di Pos Tohoi dilayan teruk - Aktivis
Hamzah Hamid
Oktober 10, 2015 14:07 MYT
Oktober 10, 2015 14:07 MYT
Kepentingan, layanan kebajikan dan belas kemanusiaan buat keluarga mangsa kanak-kanak Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos lepas tidak dijaga dengan baik oleh pihak bertanggungjawab.
Perkara itu dinyatakan oleh aktivis hak asasi manusia dan peguam Siti Zabedah Kasim, melalui status akaun Facebooknya pada Sabtu.
Dalam menghargai usaha untuk mencari dan menyelamat kanak-kanak tersebut, menurutnya, dia menyaksikan banyak aspek nilai kemanusiaan lain yang perlu diberi perhatian memandangkan dia ada bersama keluarga mangsa sejak hari pertama.
“Sejak hari pertama, tiada sesiapa peduli pada kebajikan keluarga mangsa. Tiada makanan atau minuman disediakan kepada mereka,” ujarnya yang pada kebanyakan masa berulang-alik antara hospital dan balai polis di Gua Musang.
Memandangkan berdepan kekangan akses internet, Siti terpanggil untuk meminta bantuan kumpulan sokongannya untuk menguar-uarkan panggilan derma dan sumbangan buat keluarga mangsa.
Midah yang bertarung dengan pelbagai perasaan dilihat terpaksa disorong dengan kerusi roda kerana keadaan persekitaran yang sesak. - Foto Astro AWANI
Siti turut mempertikaikan peranan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang menurutnya kurang proaktif untuk menawarkan bantuan yang sewajarnya buat keluarga mangsa.
“Di mana JAKOA? Mereka ada di lokasi tetapi tidak menawarkan keluarga dan orang kampung apa-apa. Saya dan kumpulan sokongan terpaksa memikirkan sendiri soal makanan, penginapan dan persalinan pakaian kerana keluarga mangsa tidak membuat persiapan untuk bermalam di Gua Musang.
“Sejak penemuan kedua jasad mangsa, mereka terpaksa tinggal lebih lama,” kata Siti yang berpendapat pegawai khusus diperlukan untuk menjaga kebajikan keluarga mangsa seperti makanan, tempat tinggal sementara dan pengangkutan.
BACA: Ibu bapa tujuh murid Orang Asli yang hilang diberi kaunseling - Ahmad Jazlan
Siti mendakwa, aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa di Ibu Pejabat Polis Gua Musang mengenai perkembangan maklumat yang tidak disampaikan kepada keluarga mangsa. Namun, dia kecewa apabila jawapan yang diberikan adalah ‘keutamaan dalam insiden itu hanya untuk menyelamatkan kanak-kanak’.
“Ya, saya setuju tentang itu. Tapi, jika mereka ada masa untuk membuat sidang media, mengapa tidak ada waktu untuk menjelaskannya kepada keluarga mangsa.
“Ibu kepada Ika meratap hiba apabila hanya ditunjukkan pakaian dan bukan jasadnya, tapi dia tidak diberikan penerangan dan kata-kata sokongan. Dia juga murung dan tidak lalu makan,” jelas Siti.
Dakwa Siti, dalam satu insiden lain, Midah Angah iaitu ibu kepada Norieen Yaakob, 10 salah seorang daripada dua kanak-kanak yang ditemukan selamat di dalam banir sebatang pokok di tebing Sungai Perias semalam, telah dihalang dan ditolak ke tepi ketika mahu mendekati anak yang dikeluarkan dari ambulans.
Mujur Midah sangat kuat dan telah menjerit menegakkan hak untuk bertemu anaknya.
“Itu adalah contoh pihak berkuasa yang gagal menunjukkan empati kepada keluarga. Ini berlaku sejak hari pertama. Keluarga mangsa tidak diberi pendekatan kaunseling, maklumat dan dibiarkan sendiri.
Midah (berbaju jingga) sedaya upaya cuba menjenguk anaknya yang tiba dengan ambulans tetapi dikatakan telah dihalang oleh petugas perubatan dan anggota keselamatan. Dalam situasi sebegini, dua aspek yang bertembung adalah emosi seorang ibu dan juga keutamaan untuk memberi ruang laluan kepada rawatan kecemasan. - Foto Astro AWANI
Sewaktu dihubungi Astro AWANI melalui khidmat pesanan ringkas, Siti baru sahaja hendak memasuki semula ke Pos Tohoi untuk memantau perkembangan terkini.
“Adakah mereka dilayan secara berbeza kerana mereka bukan golongan yang terbang dengan pesawat? Atau kerana mereka miskin atau golongan yang dilupakan?” tegas Siti.