Keluarga mangsa disantuni, henti sebar spekulasi - TUDM

Astro Awani
Ogos 14, 2021 11:30 MYT
Ackbal menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia dalam pertemuan di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuching semalam. - Astro AWANI
KOTA SAMARAHAN: Nasib dan kebajikan waris keluarga keempat-empat mangsa tembakan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terus dijaga dengan baik.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad pada petang Jumaat hadir bagi bertemu dan menyantuni waris-waris anggota yang terlibat di Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Kuching.
Beliau menzahirkan ucapan takziah kepada balu dan keluarga kesemua anggota TUDM yang meninggal dunia.
Dalam masa yang sama, Ackbal menyampaikan sumbangan dari Tabung Kebajikan TUDM dan sumbangan bantuan kebajikan kepada waris terlibat.
“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian yang menimpa dan TUDM sedang membuat segala urusan berkaitan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris anggota,” katanya.
BACA: Insiden tembakan di kem TUDM: Suspek tembak tiga rakan ketika masa serah tugas - Polis
BACA: Insiden tembakan TUDM: Arwah Sharif Mohd Siddiq pesan adik jangan lupa sembahyang
Sementara itu, Ackbal juga telah berada di lokasi insiden di Kem Skuadron 330 TUDM untuk mengetahui dan meninjau dengan lebih jelas insiden berkenaan.
Sehubungan itu, pihak TUDM turut meminta semua pihak agar tidak menyebarkan spekulasi berhubung kes tembakan empat anggotanya sehingga proses siasatan oleh polis selesai.
Ia sekali gus bagi menghormati sensitiviti waris dan keluarga anggota yang meninggal dunia.
Kejadian tembakan yang mengorbankan empat anggota TUDM itu berlaku kira-kira jam 7.15 pagi semalam di Skuadron 330, di sini.
BACA: Insiden tembakan kem TUDM: 'Nak hidup atau mati' - Suspek
BACA: Insiden tembakan TUDM: Hasrat Mohd Ehsan buka bengkel motosikal tidak kesampaian - Kakak mangsa
BACA: Insiden tembakan TUDM: Polis klasifikasikan sebagai kes bunuh
Anggota yang terkorban ialah Koperal Udara Mohammad Ehsan Sehamat dari Asajaya Laut, Samarahan, Koperal Udara Ho Swee Boon (Lundu) dan Laskar Udara Kanan Nesly Nabau (Sibu) - kesemuanya meninggal di tempat kejadian.
Seorang lagi ialah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli (Seniawan, Bau) yang meninggal dunia di Hospital Jantung Kota Samarahan, ketika menerima rawatan akibat kecederaan parah.
Kesemua mereka sudah mendirikan rumah tangga.
#TUDM #tembakan #Kuching #mangsa tembakan #Ackbal Abdul Samad #bantuan #sumbangan #kebajikan #spekulasi #tembak #bunuh
;