'Keluarga Malaysia' pastikan semua tidak ketinggalan dalam RMK-12 - Ismail Sabri

Firdaus Azil
Oktober 3, 2021 21:19 MYT
Ismail Sabri berkata, RMK-12 menerapkan semangat keterangkuman, terutamanya dalam menyediakan akses dan peluang pendidikan, ekonomi, dan pembangunan modal insan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Penggunaan frasa serta konsep ‘Keluarga Malaysia’ dalam penggubalan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), adalah untuk memastikan tidak ada mana-mana kaum atau etnik ini ketinggalan dalam usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam konsep tersebut, antara semangat yang diterapkan kerajaan ialah mengutamakan keperluan melindungi, membantu, serta jangan biarkan rakyat terus dalam kesusahan.
Selain itu, beliau berkata, maruah rakyat, dalam konteks Keluarga Malaysia, juga perlu dijaga serta tidak boleh dicemari oleh sesiapa pun.
“Saya melihat perbezaan ini sebagai kelebihan. Jangan anggap ia satu kelemahan. Perbezaan perlu diraikan. Dan perbezaan itu sepatutnya menjadi kekuatan kepada kita. Jangan perbezaan menjadi halangan kepada kita untuk bersatu atau berpadu. Itu yang penting.
“Sebab itu konsep Keluarga Malaysia yang saya sebut dari awal lagi, bahawa, kita dengan keluarga kita, tentu keutamaan kita untuk lindungi keluarga kita, bantu keluarga kita. Kita tidak akan biarkan keluarga kita susah, pasti kita akan bantu,” katanya lagi.
Perdana Menteri berkata demikian dalam program Wawancara Khas Eksklusif Bersama Perdana Menteri, yang disiarkan di Astro AWANI, TV3 dan RTM pada Ahad malam.
Mengulas lanjut, beliau berkata, RMK-12 menerapkan semangat keterangkuman, terutamanya dalam menyediakan akses dan peluang pendidikan, ekonomi, dan pembangunan modal insan.
Namun, kata Ismail Sabri lagi, fokus RMK-12 sudah semestinya lebih tertumpu ke arah memperbaiki kualiti dan kesejahteraan hidup kumpulan miskin tegar, B40 serta M40.
“RMK-12 merangkumi semua kaum. Sebab itu kalau kita tengok dokumen RMK-12, ianya menyebut semua kaum. Tidak ada satu pun ketinggalan.
“Sebagai contoh, Bumiputera jelas fokus keenam perkasa agenda Bumiputera dan Keluarga Malaysia. Fokus khusus untuk Keluarga Malaysia, ada fokus tentang membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera, terutamanya melibatkan ekonomi, termasuk akses dan peluang pendidikan, modal insan, dan sebagainya,” katanya lagi.
Ismail Sabri berkata, kerajaan melalui RMK-12 juga akan memastikan kesejahteraan hidup masyarakat Orang Asli dapat dipertingkatkan, melalui pendidikan dan penambahbaikan infrastruktur di perkampungan mereka.
Bagi Sabah dan Sarawak, Perdana Menteri berkata, RMK-12 menyebut jelas program khas yang telah digariskan, menyentuh kaum dan etnik di dua wilayah tersebut secara khusus.
“Kita sebut bukan setakat Sabah dan Sarawak, tapi fokus kepada etnik itu sendiri Di Sabah kita ada Kadazan, Dusun, Murut. Dan di Sarawak kita sebut tentang kaum Iban, Bidayuh, Melanau semua kita sebut. Dan kita ada program khusus bantu mereka tingkatkan ekonomi,” katanya lagi.
Bagi masyarakat Cina pula, Perdana Menteri berkata, ada keperluan khusus untuk pembangunan sosioekonomi, terutamanya di Kampung-kampung Baru Cina, kerana kemiskinan di kawasan berkenaan masih tinggi.
Antara program yang digariskan, kata beliau lagi, termasuklah memperkenalkan skim pinjaman khas untuk penduduk di kampung-kampung baru Cina, serta penambahbaikan infra di kawasan berkenaan.
Begitu juga dengan masyarakat India, yang mana Perdana Menteri berkata, di dalam RMK-12 terdapat keperluan untuk pembangunan dan pemberian bantuan khusus untuk meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi kaum tersebut.
“Dari segi kaum, kita tak tinggalkan satupun, etnik. RMK-12 akan menumpukan kepada mereka, dari segi pembangunan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup mereka.
“RMK-12 ini, mencakupi semua. Tidak ada siapa pun (tertinggal). Dengan tagline saya sebutkan - tidak ada sesiapa akan ketinggalan dalam negara kita, terutamanya dalam Rancangan RMK-12 ini,” katanya lagi.
#Eksklusif bersama Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #Keluarga Malaysia #RMK-12
;