Keluarga Malaysia di Bangkok sambut Hari Kebangsaan 2022 secara sederhana
Bernama
Ogos 31, 2022 05:30 MYT
Ogos 31, 2022 05:30 MYT
BANGKOK: Meskipun tinggal jauh dari tanah air, Keluarga Malaysia di Bangkok tidak melepaskan peluang meraikan Hari Kebangsaan 2022 dalam satu majils yang diadakan secara sederhana bagi menyemarakkan semangat patriotisme sempena hari bersejarah itu.
Sambutan itu diraikan kira-kira 100 rakyat Malaysia termasuk yang menetap di sekitar Bangkok dan mereka yang menghadiri tugas rasmi di sini, selepas dua tahun tiada sambutan secara fizikal ekoran pandemik COVID-19.
Lengkap berbaju Melayu, rakyat Malaysia menyanyikan 'Negaraku' dan lagu patriotik lain sambil mengibarkan Jalur Gemilang.
Hadir sama Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel dan isteri Datin Catherina Cherian Samuel, Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Komunikasi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Ahmad Norhad Zahari serta pegawai dan kakitangan kedutaan.
Dalam ucapannya, Jojie berharap sambutan kali ini dapat menyemarakkan semangat patriotik rakyat Malaysia yang berada di luar negara.
"Setiap tahun, seluruh rakyat Malaysia mengambil peluang untuk menghayati makna sebenar kemerdekaan dan kebebasan. Hari Kemerdekaan ini merupakan lambang sejarah pembentukan Malaysia yang berdaulat dan bukti kejayaan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama dalam membina sebuah negara yang maju, aman dan makmur.
"Semoga Keluarga Malaysia khususnya di Bangkok dapat kembali menikmati kesejahteraan hidup sebelum pandemik COVID-19. Saya berharap lebih banyak program melibatkan Keluarga Malaysia di Bangkok dapat dianjurkan agar silaturahim antara kedutaan dan rakyat Malaysia di sini dapat dieratkan," katanya.
Jojie berkata sambutan kali ini juga mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan Thailand.
"Kita akan terus memastikan momentum hubungan ini berada pada tahap tertinggi. Mutakhir ini, hubungan rapat di antara pemimpin-pemimpin negara sebenarnya telah dibuktikan melalui lawatan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa menteri kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan sejak dari awal tahun sehingga beberapa hari lalu.
"Lawatan perdana menteri pada Februari tahun ini merupakan lawatan (peringkat tertinggi) yang pertama diterima oleh Thailand selepas COVID-19. Ini adalah manifestasi dan kesungguhan kedua-dua negara untuk mengukuhkan kerjasama demi kepentingan rakyat Malaysia dan Thailand," katanya.
-- BERNAMA