Itu yang berlaku kepada sebuah keluarga di Bercham, Ipoh apabila mereka diselubungi kejadian kebakaran misteri yang sukar dirungkai sejak tiga bulan lalu.
Menurut seorang ahli keluarga itu, Norlizawati Hassan, 30, pelbagai ikhtiar telah dilakukan untuk mengelak kejadian itu, termasuk menggunakan khidmat bomoh, namun kejadian misteri itu masih berlaku.
Dia kini terpaksa bergilir menjaga ibunya, Intan Mohamed, 51, yang menghidap kanser payu dara serta adiknya Mohd Shafiq Hassan, 17, yang menghidap lemah jantung.
“Sekarang ni, saya tak tahu nak buat macam mana sebab kalau nak terbakar, akan terus terbakar saja tak kira pagi, petang atau malam. Sampai mak, seorang ibu tunggal, terpaksa tinggal dengan adik dia.
“Saya pula dengan masalah kerja lagi, ditambah pula dengan masalah di rumah macam ini. Memang tidak pernah nak tenang. Tiga bulan terpaksa tanggung keadaan macam ni,” keluhnya.
Buntu dengan permasalahan yang dihadapi, Norzilawati berharap ada insan yang sudi membantu keluarga mereka.
“Saya haraplah kalau ada yang betul-betul ikhlas nak bantu dari kos perubatan dan pakaian, sebab terus-terang kami sudah tidak mampu.
“Kain baju habis rosak, hingga adik saya kena pakai yang abang-abang punya. Sampai tahap nak ke Institut Jantung Negara (IJN) sebab dia sakit jantung pun tak ada baju.
“Pihak sekolah pun ada suruh dia pergi (datang ke sekolah), tapi saya paling risau takut nanti sekolah pula terbakar,” kata Norzilawati.
Sementara itu seorang ahli keluarga, Mohd Zazeli Hassan, 29, telah menerima surat tindakan tatatertib gara-gara tidak dapat datang bekerja beberapa hari lalu kerana terpaksa menjaga keselamatan ibu dan adiknya.
“Kerja saya selama ini memang tidak ada apa-apa masalah. Selepas terjadi kebakaran ini saya terpaksa ulang-alik nak tengok ibu dan adik saya di rumah ini kerana risaukan keadaan mereka.
“Kami harap pihak sekolah bolehlah menerima saya balik,” katanya yang bertugas sebagai pembantu am rendah di sebuah sekolah.
Kru Astro AWANI ketika membuat liputan di tempat kejadian sempat menyaksikan satu kebakaran yang terjadi secara tiba-tiba ketika kru melangkah keluar rumah sebaik selesai menemu bual ahli keluarga terbabit.
Ketika itu, baju di ampaian dalam ruang letak kenderaan depan rumah terbakar secara tiba-tiba dan berjaya dipadamkan oleh ahli keluarga terbabit.
Selepas kejadian, seorang ahli keluarga Mohd Shafiq pula tiba-tiba muntah darah dan menunjukkan darah di tapak tangannya.
Beberapa kesan kebakaran turut sempat dirakamkan pada peti meter elektrik, pintu bilik, ayat suci al-Quran dan tangga.
Misteri yang sukar dirungkai ini terus menghantui keluarga terbabit, namun mereka tidak putus mengharapkan agar menerima bantuan atau jalan penyelesaian daripada mana-mana pihak yang arif dalam fenomena seumpamanya.