Keluarga juruterbang TUDM harap siasatan terperinci dijalankan

Bernama
Disember 22, 2016 13:36 MYT
Kejadian pada 5.18 petang itu telah mengorbankan juruterbangnya, manakala tiga anggota lain cedera, seorang daripadanya dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dua lagi menerima rawatan di HSJ. - Astro AWANI
Keluarga mangsa nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, di sini semalam berharap siasatan terperinci dapat dilakukan segera.
M. Chellam, 72, bapa kepada juruterbang yang terkorban dalam kejadian itu, mendiang Mejar C. Kayamboo, 45, berkata mereka sekeluarga berharap keputusan siasatan dapat diketahui secepat mungkin dan dimaklumkan kepada anggota keluarga.
BACA: Kronologi insiden pesawat TUDM terhempas sepanjang 2016
"Kami berharap siasatan itu dibuat secara teliti demi keadilan untuk mendiang anak sulung saya. Walaupun sedih dengan kejadian yang menimpa Kayamboo namun saya reda dengan kejadian tersebut.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada TUDM yang membantu menguruskan mayat mendiang Kayamboo," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata isterinya M. Indera Devi, 63, dan isteri Kayamboo, S. Usha, 42, sehingga kini masih tidak dapat menerima kenyataan dan menganggapnya sebagai mimpi namun Chellam menasihatkan mereka agar menerimanya sebagai takdir.
Chellam berkata empat anak Kayamboo berusia dua hingga 13 tahun telah dimaklumkan mengenai insiden itu, sebelum mayatnya dibawa ke rumah di Taman Seri Nibong, Sungai Nibong dekat sini kira-kira 1 pagi tadi selepas selesai bedah siasat di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
"Selepas kejadian itu, kami memang tidak beritahu anak-anak mendiang kerana bimbang mereka terkejut, tetapi sebelum mayat dibawa pulang, saya sendiri beritahu kepada cucu tentang kejadian itu dan ternyata mereka juga tidak dapat menerima kehilangan Kayamboo," katanya.
Chellam yang merupakan pengusaha kedai makan berkata semasa membuat pengecaman Kayamboo, didapati hampir 80 peratus badan mayat anaknya terbakar akibat insiden itu.
Katanya mayat anaknya dibawa pulang ke rumah mereka terlebih dahulu untuk upacara keagamaan dan penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Krematorium Batu Lanchang untuk dibakar kira-kira 3 petang ini.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang, terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, di sini.
Kejadian pada 5.18 petang itu telah mengorbankan juruterbangnya, manakala tiga anggota lain cedera, seorang daripadanya dirawat di Hospital Pulau Pinang dan dua lagi menerima rawatan di HSJ.
-- BERNAMA
#nahas butterworth #nahas TUDM #Tentera Udara
;