Keluarga izinkan jenazah Benjy dikebumi di Medan

Saharudin Musthafa
Julai 11, 2021 14:50 MYT
Gambar kenangan Allahyarham Benjy (kanan) dan adik-adiknya, Elza (tengah) dan Innese.
KUALA LUMPUR: Jenazah Benjy Ibrahim akan dikebumikan di Medan, Indonesia esok selepas diberi keizinan oleh keluarga Allahyarham.
“Kami sekeluarga telah mengizinkan pihak penjara di Medan mengebumikan jasad (Benjy) di sana. Urusan pengebumian akan dijalankan esok,” kata keluarga Allahyarham Benjy dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan, pelakon Benjy Ibrahim yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada Ahad.
Berita pemergian Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi.
“Ben (panggilan buat Benjy) meninggal di hospital Medan Indonesia akibat Asma hari ini,” itu mesej kiriman Khairil Anwar kepada Astro AWANI menerusi WhatsApp.
Rindu Karl pada Benjy
BACA: Benjy meninggal dunia di Medan
Astro AWANI difahamkan Allahyarham Benjy yang berusia 43 tahun tenat dilaporkan tenat dan sukar bernafas akibat diserang penyakit Asma sebelum menghembuskan nafas terakhir.
“Benjy tidak dapat bernafas akibat sakit tenat lebih kurang pukul 11 pagi (waktu Malaysia) dan telah cuba dibawa ke rumah sakit di sana tetapi tidak sempat diselamatkan,” ujar keluarga Allahyarham Benjy.
Kenyataan keluarga Benjy turut menyebut Allahyarham telah lama mengalami Asma yang kronik dan penyakit paru-paru lain serta sering keluar masuk hospital sejak beberapa tahun lalu.
BACA: Benjy oh Benjy... Apa khabar di sebalik tirai besi?
#Benjy #Benjy Ibrahim #Benjy meninggal dunia #Benjy meninggal dunia di Medan #azean irdawaty
;