Keluarga Istiqomah harap dapat segera tuntut jenazah

Sinar Harian
Ogos 13, 2024 05:20 MYT
Mohd Yusoff berkata, setakat ini pihak keluarga masih belum menerima makluman daripada pihak hospital berhubung urusan tuntutan jenazah. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Keluarga Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 34, masih menunggu kebenaran daripada pihak polis berhubung tuntutan jenazah untuk dibawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan, bagi tujuan pengebumian.
Ketika dihubungi, suami Allahyarham, Mohd Yusoff Mokhtar, 35, berkata, setakat ini pihak keluarga masih belum menerima makluman daripada pihak hospital berhubung urusan tuntutan jenazah.
"Saya belum dapat panggilan daripada polis atau hospital untuk kami tuntut jenazah.
"Kami semua hanya tunggu buat masa ini dan berharap urusan tuntutan jenazah ini dapat diselesaikan secepat yang mungkin.
"Insya-ALLAH, sebaik dapat kebenaran tuntut jenazah kami akan segera bawa pulang ke Pasir Mas, Kelantan," katanya kepada Sinar Harian.
Jenazah Allahyarham Istiqomah akan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, Kelantan.
Terdahulu Sinar Harian pada Isnin melaporkan kehilangan seorang guru wanita sejak lapan bulan lalu akhirnya terjawab selepas polis mengesahkan mayat tidak lengkap ditemui pada 31 Disember lalu adalah milik Istiqomah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan mendapati ia sepadan dengan guru Sekolah Kota Masai 3, Pasir Gudang Johor, itu yang dilaporkan hilang sejak 27 Disember tahun lalu.
Menurutnya, risikan yang dijalankan pasukan polis Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah telah berjaya menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia 36 dan 37 tahun. -- Sinar Harian
#Istiqomah Ahmad Rozi #tuntut jenazah #Pembunuhan #suami Allahyarham