'Keluarga generasi sandwic' perlu diberi perhatian
Harits Asyraf Hasnan
Mei 14, 2021 14:59 MYT
Mei 14, 2021 14:59 MYT
KUALA LUMPUR: Selain ibu tunggal dan mereka yang dibuang kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), satu lagi kumpulan dalam kalangan wanita yang perlu diberi perhatian adalah 'keluarga generasi sandwic'.
Ini kerana, wanita yang berada dalam kelompok ini adalah mereka yang perlu mengimbangi kerjaya pada masa sama menguruskan ibu bapa serta anak-anak di rumah.
Pensyarah Kanan Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Wan Munira Wan Jaafar berkata golongan ini sering berada dalam dilema, mengalami tekanan emosi dan lelah dari segi fizikal.
"Mana nak buat kerja pejabat, mana nak jaga mak, mana nak tengok ayah, mana nak tengok anak-anak sekolah, yang belajar di rumah dan anak-anak yang kecil lagi. Semuanya perlu dilakukan dalam satu masa.
"Jadi ini boleh meningkatkan tekanan dalam kalangan golongan ini kerana beban tanggungjawab yang besar atau tanggungan yang besar.
"Jadi bebanan ini yang sering kali menjadi penyumbang kepada isu kesihatan mental wanita," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Jelas beliau, sekiranya wanita dalam kelompok ini masih perlu bekerja dari rumah sewaktu pelaksanaan PKP, majikan seharusnya mengambil berat kebajikan golongan itu.
"Keselamatan dan kesejahteraan mereka di rumah juga perlu diberi perhatian.
"Dalam konteks ini, majikan perlu ada tanggungjawab untuk menjaga atau 'duty of care', khas untuk memantau kebajikan pekerja yang bekerja di rumah.
"Ini untuk memastikan mereka stabil dari segi fizikal dan mental, terutama untuk hindarkan mereka dari isu kesihatan mental dan keganasan rumah tangga," jelasnya.
Laporan Siri Keempat, Keluarga di Pinggiran mendapati wanita menerima kesan paling besar susulan pelaksanaan PKP.
Malah, majoriti iaitu enam daripada 10 ketua isi rumah terutama wanita berdepan kekangan dalam menyediakan makanan kepada keluarga mereka.
#keganasan rumah tangga
#perintah kawalan pergerakan
#PKP
#keluarga generasi sandwich
#keluarga sandwich
#wanita
#keselamatan
#keganasan
#kesihatan
#Pelaksanaan PKP
#kesihatan mental
#kesejahteraan wanita
#tekanan emosi wanita