Keluarga gembira mangsa sesat dalam hutan ditemui

Bernama
Disember 25, 2015 13:09 MYT
Mangsa sesat Rosli Sufiyan (dua,kiri) disambut gembira oleh ahli keluarganya setelah berjaya ditemui semula. - Foto BERNAMA
Isteri kepada salah seorang daripada lima individu yang hilang selepas masuk ke dalam Hutan Kampung Hulu Bongor, di sini, melahirkan rasa gembira dan kesyukuran apabila menerima berita suaminya, Rosli Sufiyan, 42 sudah ditemui.
"Alhamdulillah, hanya Allah saja yang tahu perasaan saya apabila diberitahu suami serta rakan-rakannya berjaya ditemui dengan selamat kerana sebelum ini saya terlalu bimbangkan keselamatannya," kata Zarina Hasan, 43, ketika dihubungi di sini malam ini.
Beliau berkata ketika memberitahu berita itu kepada anak-anaknya, mereka sangat gembira serta tidak sabar untuk berjumpa dan memeluk bapa mereka sekuat hati nanti.
"Masa suami akak hilang mereka sangat risau kerana mereka sangat rapat dengan suami dan tidak henti-henti bertanyakan ke mana bapa mereka pergi," katanya.
Katanya, sebelum ini Rosli ada menghantar Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan memberitahu yang keadaannya selamat.
"Selepas itu, saya gagal untuk hubungi dia dan saya sangat risau untuk menjawab soalan anak saya serta tersentuh hati apabila mereka menyebut yang mereka rindukan bapa mereka itu.
Namun semuanya sudah terjawab apabila mereka berjaya ditemui dengan selamat," katanya.
Sementara itu Mazidah Md Noh, 40 ibu kepada Husaini Rafei, 20, berkata dia sangat bersyukur anaknya selamat namun bimbang kerana diberitahu anaknya masih dalam keadaan lemah.
"Walaupun saya bimbangkan keselamatan anak saya sebelum ini namun naluri seorang ibu tetap mengatakan dia masih hidup. Alhamdulillah.
Saya begitu gembira selepas anggota bomba serta penduduk kampung memberitahu yang anak saya ditemui dalam keadaan selamat walaupun agak lemah," katanya.
Mazidah berkata:"Saya tidak dapat gambarkan kegembiraan saya kerana begitu bimbangkan keadaannya yang keluar dari rumah untuk mencari hasil hutan. Saya bimbang kerana sebelum ini dia tidak pernah pulang lewat seperti ini," katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Gerik DSP Jamalani Mohd Isa berkata kesemua mangsa ditemui kira-kira pukul 3.30 petang tadi.
"Mereka kemudiannya tiba di pusat kawalan bomba di Dewan Kampung Bongor pada pukul 10.30 malam ini," katanya pada sidang media di sini malam ini.
Beliau berkata lima anggota polis, 25 anggota bomba dan penyelamat Gerik serta 25 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.
"Pihak kami terima panggilan daripada Ketua Kampung Bongor pada Rabu pada pukul 10.30 malam mengatakan lima orang pergi memikat burung dan tak balik-balik sejak hari Isnin.
"Pada pukul 8 pagi pasukan penyelamat masuk kawasan sekitar Kampung Bongor, dan kira-kira 11 pagi terima panggilan pasukan penyelamat jumpa lima motosikal dalam kawasan hutan," katanya.
Katanya, kesemua mereka akan dibawa ke Hospital Gerik untuk menerima rawatan lanjut.
#hilang #hutan #Kampung Hulu Bongor #Rosli Sifiyan #Zarina Hasan
;