Keluarga gelisah anak hidap penyakit kulit misteri
Muhafandi Muhamad
Mei 3, 2017 15:01 MYT
Mei 3, 2017 15:01 MYT
Bermula dengan kudis kecil di dalam mulut, Nurul Aini Farahanur, 19, kini hanya terlantar selepas seluruh badannya mengalami lepuh dan lecur.
Bapanya Mohamed Awang, 68 tahun, bingung dan buntu dengan penyakit misteri yang dihidapi anak gadisnya itu.
Menurutnya, penyakit misteri itu menyerang ketika anak bongsu daripada tujuh beradik itu bekerja selama sebulan di sebuah butik pakaian di Kuala Lumpur.
“Pada mulanya hanya ada sebutir kudis di bibir mulut dia. Selepas seminggu ia semakin banyak hingga mereka ke tengkuk dan kemudian seluruh badan sehingga badannya melecur.
“Hendak kata kudis, ia tidak kelihatan seperti kudis, keadaannya seperti terkena ekzos motosikal,” katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Keadaan itu membuatkannya bingung dan buntu dengan penyakit misteri tersebut.
Katanya, doktor juga tidak dapat mengenal pasti penyakit anaknya itu dan memaksa dia memilih rawatan alternatif.
Mohamed yang kematian isteri sejak tiga tahun lalu kini dibantu adik ipar dan anaknya yang lain untuk menguruskan Nurul Aini.
Orang ramai yang ingin membantu atau menghulurkan sumbangan boleh menghubungi Mohamed di talian 013-7682210 atau menerusi akaun Agrobank miliknya, 2001-7310-0012-2473.