Keluarga diami rumah usang terima sumbangan untuk bantu jana pendapatan
Muhafandi Muhamad
Julai 8, 2021 09:43 MYT
Julai 8, 2021 09:43 MYT
TUMPAT: Kisah sebuah keluarga mendiami rumah usang hampir menyembah bumi yang disiarkan Astro AWANI akhir bulan lepas mendapat simpati orang ramai.
Keluarga Siti Mariam Mohamed@Ahmad, 30, dan suami Mohd Khairil Muhamad Muhammadiah, 33, dari kampung tebing, tumpat bersama empat anak berusia dari 12 tahun hingga 9 bulan kini menyewa di rumah lebih selesa.
Namun sewa bulanan RM350 yang bakal ditanggung mereka membebankan kerana pasangan berkenaan tidak mempunyai pendapatan.
Bagi menyelesaikan masalah kewangan yang ditanggung, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) membantu menyumbang peralatan membuat kuih kepada isterinya dan sebuah motosikal roda tiga kepada suaminya supaya mereka dapat mencari rezeki.
"Berdasarkan maklumat yang kita dapat, pendapatan bulanan mereka agak tidak stabil dan suaminya buruh kasar yang tidak punyai pendapatan tetap.
"Jadi kita bantu untuk keluarga ini jana sumber suaminya mencari pendapatan kawasan sekitar guna motor yang sudah rosak, kita sumbangkan sebuah motosikal roda tiga.
"Isterinya punyai kemahiran masakan buat kuih, mungkin kita bantu sumbang peralatan."
Siti Mariam berpindah ke rumah sewa baharu beberapa hari lalu melalui bantuan badan bukan kerajaan (NGO) selepas kisah mereka berada di rumah uzur disiarkan.
"Saya pindah sementara ke rumah ini, jadi dia bantu sementara bayar sewa rumah.
"Saya terima kasih kepada MAIK bantu peralatan buat kuih, bantuan motosikal roda tiga untuk suami saya, dan suami isteri boleh cari kerja," kata Siti Mariam.
Keluarga Siti Mariam antara yang terkesan pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ketiadaan punca pendapatan ditambah pula kekangan kewangan.
Lebih tiga tahun mereka mendiami rumah usang dan uzur sehingga kisah mereka diberitakan.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memberi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) kepada isi rumah kategori miskin tegar, B40 dan M40 termasuk golongan bujang bermula Ogos.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, bantuan itu bakal memanfaatkan lebih 11 juta isi rumah dan individu warga emas serta bujang dengan peruntukan sebanyak RM4.6 bilion.
Sejumlah RM300,000 juga diberikan kepada semua Ahli Parlimen bagi program Bantuan Bakul Makanan seperti yang diumumkan dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) mula disalurkan pada 1 Julai.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berhubung perkara ini memaklumkan peruntukan itu turut diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
#miskin
#bantuan
#MAIK
#Siti Mariam Mohamed Ahmad
#Mohd Khairil Muhamad Muhammadiah
#Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan