Keluarga di Bandar Tasik Puteri cemas, barang lesap selepas terkena 'pukau tahi'

Astro Awani
Januari 5, 2019 11:03 MYT
Mohd Shuhairi turut mengesyaki penjenayah menggunakan taktik 'pukau tahi' kerana pada malam kejadian dia dan ahli keluarga yang lain tidak tersedar langsung dari tidur. - Foto Astro AWANI
Dipercayai akibat teknik pukau.
Sebuah keluarga di taman perumahan Bandar Tasik Puteri Rawang, kerugian ribuan ringgit selepas kediaman mereka dipecah masuk pada awal pagi Jumaat.
Menurut pemilik rumah, Mohd Shuhairi Ismail, dia hanya menyedari kediamannya dipecah masuk apabila terbangun dan melihat kawasan ruang tamu bersepah.
Jelasnya, selepas memeriksa, beberapa barangan beharga seperti komputer riba, televisyen, kamera , telefon bimbit dan sejumlah wang tunai hilang.
Dia turut percaya kejadian berlaku pada kira-kira pukul 4 sehingga 5.30 pagi.
Mohd Shuhairi turut mengesyaki penjenayah menggunakan taktik 'pukau taik' kerana pada malam kejadian dia dan ahli keluarga yang lain tidak tersedar langsung dari tidur.
Lebih mengharukan ada kesan najis ditinggalkan.
"Rumah saya diceroboh pada kira-kira pukul 3 pagi, saya rasa penjenayah itu menggunakan ilmu pukau kerana kami sekeluarga tidak tersedar langsung.
"Setiap hari kami akan terbangun pada pukul 4.30 pagi kerana anak bersekolah tetapi apa yang berlaku hari ini sebaliknya, kami rasa sudah dipukau.
"Ada barangan hilang, televisyen, kamera, telefon, di luar dia tinggalkan najis. Sebab itu saya kata dia gunakan ilmu sihir, saya rasa," katanya.
Mohd Shuhairi berkata, dia juga sudah membuat laporan polis dan berharap kejadian sama tidak berulang lagi.
#pencuri #polis #pukau #Telefon bimbit
;