Keluarga campur rai Tahun Baharu Cina bersederhana

Azizah Shafiei
Februari 1, 2022 17:27 MYT
Thevi Elumalai dan keluarganya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina pada kali ini lebih meriah walaupun penuh kesederhanaan. - Foto Astro AWANI
BERA: Biar pun seluruh negara masih perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha membendung penularan COVID-19, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tetap diraikan meriah walau dalam kesederhanaan.
Bagi Thevi Elumalai, 56, pada tahun ini perayaan itu disambut meriah apabila sebahagian besar keluarganya dapat pulang ke kampung untuk meraikan bersama ibunya, Cheng Moi Chai, 88, berdekatan Pekan Triang.
Katanya, berikutan sambutan tahun lalu tidak begitu dirasai kerana situasi COVID-19 ketika itu sangat membimbangkan, kali ini mereka menggunakan kesempatan pada tahun ini untuk memeriahkan suasana perayaan kali ini.
"Sambutan tahun ini sangat meriah sebab hampir semua ahli keluarga dapat berkumpul. Sejak semalam kami berkumpul untuk makan besar, dan saya lihat mak saya betul-betul gembira.
"Berbanding tahun lepas, ada yang tidak dapat balik sini. Tapi kali ni, bukan sahaja anak-anak mak balik tapi cucu dan cicit juga balik untuk merayakan Tahun Baharu Cina," katanya.
Thevi berkata, kemeriahan sambutan tahun ini terasa kerana ahli keluarganya yang terdiri pelbagai bangsa meraikan bersama termasuk bersama birasnya yang berasal dari negara Sepanyol.
Sementara itu, Nurliana Lim, 53, berkata, walaupun dia telah memeluk agama Islam sejak 33 tahun lalu, dia masih lagi merayakan sambutan Tahun Baharu Cina bersama keluarganya.
Menurutnya, walaupun tidak semeriah dulu yang dipenuhi dengan budaya masyarakat Cina, namun aktiviti berkumpul semasa perayaan itu tetap diteruskan.
"Sekarang saya lebih meraikan sambutan bersama suami dan anak-anak. Tiada sambutan istimewa tapi sekadar makan besar sahaja. Itupun tiada hidangan masakan Cina. Saya masak masakan Melayu sahaja.
"Tapi, setiap makan besar, mak saya akan ada juga, bersama enam orang anak saya termasuk juga cucu. Tetap meriah walaupun sederhana," katanya.
Nurliana berkata, walaupun perayaan itu disambut bersederhana sekurang-kurangnya dapat memberi gambaran kepada anak-anaknya mengenai sambutan Tahun Baharu Cina itu.
#Tahun Baharu Cina #Bera #kahwin campur #COVID-19
;