Keluarga Bernard Then mahu jasadnya dibawa pulang

Bernama
November 18, 2015 23:31 MYT
Ahli keluarga mangsa turut meminta agar mereka diberi ruang tanpa gangguan untuk meratapi pemergian Bernard Then. - Gambar fail
Keluarga tebusan dari Sarawak, Bernard Then Ted Fen, yang dilaporkan dipenggal kepalanya di Jolo, selatan Filipina, merayu bantuan daripada kerajaan Malaysia dan Filipina.
Mereka berharap kedua-dua kerajaan itu mempercepatkan operasi mencari dan membawa pulang jasadnya ke tanah air.
"Kami, keluarga Bernard Then Ted Fen dimaklumkan tentang kematian beliau di Jolo, selatan Filipina pada Selasa (17 Nov).
"Kami ucapkan terima kasih kepada sanak saudara, sahabat handai dan kalangan yang mengambil berat atas semua doa, ingatan serta sokongan mereka ketika kami mengharungi beberapa bulan yang amat sukar sehingga membawa kepada berita tragik ini.
"Kami menghargai semua bantuan anda untuk kami terus tabah.
"Sejak 188 hari lepas, kami meneruskan hidup dengan harapan, namun berakhir dengan kehampaan. Dengan berita yang menakutkan ini, kami terus berdoa agar rohnya sentiasa aman. Moga beliau bersemadi dengan tenang," kata mereka menerusi kenyataan di sini pada Rabu.
Keluarga itu turut meminta agar mereka diberi ruang tanpa gangguan untuk meratapi pemergian Then.
Kumpulan pengganas Abu Sayyaf dilaporkan memenggal kepala Then, tebusan rakyat Malaysia terakhir yang diculik dari Ocean King Seafood Restaurant di Sandakan pada Mei tahun ini selepas membebaskan pengurus restoran itu, Thien Nyuk Fung kira-kira seminggu lepas.
#Bernard Then #dipenggal #Filipina #Jolo #pengganas
;