Keluarga berharap pembunuh Cikgu Istiqomah dihukum gantung
Siti Nur Aqilla Omar
Ogos 12, 2024 15:40 MYT
Ogos 12, 2024 15:40 MYT
PASIR GUDANG: Keluarga guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 34, mahukan keadilan dengan hukuman setimpal dikenakan terhadap pembunuh wanita itu.
Suaminya Mohd Yusof Mokhtar, 35, berkata dia reda dengan ketentuan Allah dan menggangap kejadian ini sebagai ujian buatnya sekeluarga.
Namun katanya, mereka menuntut supaya hukuman keras termasuk gantung dikenakan terhadap suspek atas perbuatan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu.
"Kalau boleh saya nak hukuman yang setimpal untuk si pelaku. Kalau boleh hukuman gantung. Saya mahukan keadilan untuk isteri saya, tak patut (diperlakukan sedemikian rupa). Dia seorang yang taat pada suami dan amat sayangkan anak-anaknya.
"Dia (isteri) seorang yang baik, kalau ada apa-apa akan dia minta izin dengan saya. Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam dia (pelaku) buat macam itu," katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Kota Masai di sini.
Menurut Mohd Yusof, isterinya tidak gemar mencampuri urusan orang lain dan hanya menumpukan kepada kerja dan keluarga sahaja.
Katanya Istiqomah juga suka membantu dan menolong rakan atau saudara yang dalam kesulitan.
"Apabila sah mayat yang ditemui (tanpa kepala, tangan dan kaki di Melaka) milik Istiqomah, ramai rakan dan kenalannya terkejut dan bersedih dengan pemergian isteri.
"Sejak dia (isteri) hilang saya mencari ke sana sini, jumpa ustaz sana sini, saya berdoa supaya dia balik dengan selamat semua, tapi dua tiga hari lepas dapat keputusan (sah mayat milik isteri) saya anggap ini ujian, saya reda, saya terima.
"Saya sudah beritahu kepada tiga anak kami, abah akan jaga anak abah semua, ini wasiat dari mama ini (anak-anak) harta abah," katanya memaklumkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampungnya, di Pasir Mas, Kelantan selepas selesai proses berkaitan.
Pada 26 Disember lalu, guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kota Masai 3 itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja.
Sehari selepas itu, laporan berhubung kehilangannya diterima polis dan kemudian kereta milik arwah ditemui di sebuah pasar raya berdekatan.
Pada 6 Januari lalu, media melaporkan seorang wanita dibunuh dengan kejam apabila bahagian badannya ditemui disumbat dalam tong sampah dan dibuang dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Alor Gajah, pada 31 Disember lalu namun identiti masih belum diketahui.
Pagi tadi, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah mengesahkan mayat tanpa kepala, badan dan tangan yang ditemui dalam tong sampah pada 31 Disember lalu itu adalah milik Istiqomah.