“Keluarga benar-benar berharap jasad ayah ditemui” - Anak Sabari Baharom
Adie Sufian Zulkefli
Oktober 1, 2024 10:45 MYT
Oktober 1, 2024 10:45 MYT
KUBANG PASU: Anak kepada Sabari Baharom, 62, yang disyaki diikat dan dibuang ke dalam sungai masih berharap jasad ayahnya ditemui walaupun sudah 28 hari berlalu.
Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, dia reda dengan apa yang berlaku, namun setidak-tidaknya biarlah ada pusara ayah untuk diziarahi keluarganya.
“Saya dengan keluarga mengharap ada kubur (ayah) macam orang lain… mugkin nanti kita boleh ziarah. Kalau boleh (kami) minta tolong dengan pasukan-pasukan (mencari dan menyelamat) sebab harapan keluarga nak bagi dia (ayah) ada satu tempat yang elok untuk dia,” kata Muhammad Amir.
Muhammad Amir berkata demikian ketika ditemui di lokasi pencarian jasad bapanya di Sungai Padang Terap, Wang Tepus, di sini, pada Selasa.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Amir memuji kecekapan polis dalam melakukan siasatan sebaik laporan kehilangan ayahnya itu pada 4 September lalu.
Muhammad Amir mendakwa, dia juga mengenali suspek yang sudah ditahan polis itu setelah mengaku melakukan perbuatan terbabit terhadap Sabari.
Pada Isnin, Astro AWANI melaporkan polis Kedah mengesahkan pesara Felcra, Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, jasad mangsa bagaimanapun belum ditemui dengan usaha mencari sedang giat dijalankan.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan pada Jumaat lalu.
Hasil soal siasat dijalankan, pengakuan telah dibuat oleh kedua-dua suspek tersebut bahawa mangsa iaitu orang hilang (OH) telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra.
Menurutnya, kes OH berkenaan berjaya diselesaikan dan siasatan lanjut dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana membunuh.
Sebelum ini Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta Proton Waja Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik.
Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun kemudian ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan pesara Felcra itu.