Keluarga belum putuskan lokasi pengebumian jenazah Nur Farah Kartini

Sinar Harian
Julai 16, 2024 04:10 MYT
Ahli keluarga dipercayai waris kepada Nur Farah Kartini tiba untuk pengecaman mangsa di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh hari ini. --fotoBERNAMA
SUNGAI BULOH: Keluarga mangsa kes bunuh, Nur Farah Kartini Abdullah, 25, belum menentukan lagi lokasi untuk pengebumian jenazah wanita itu.
Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah berkata, perkara itu akan diputuskan oleh ibu mereka.
Menurutnya, ibu mereka dijangka tiba dari Miri pada malam ini.
"Lokasi pengebumian arwah adik masih belum dapat dimuktamadkan kerana ibu tidak membuat sebarang keputusan lagi," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB) di sini hari ini.
Mohd Farriza Azmi berkata, urusan bedah siasat ke atas adiknya dijadualkan berlangsung hari ini bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
Menurutnya, jika dikebumikan di Miri, jenazah adik akan dibawa pulang ke Kampung Lereng Bukit.
Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan memaklumkan mayat wanita itu ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini kira-kira jam 6 petang.
Pemeriksaan awal mendapati mayat terbabit dipercayai mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim, Perak pada 11 Julai lalu.
Nur Farah Kartini yang berasal dari Miri, Sarawak dilaporkan hilang selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggannya di Taman Universiti, Tanjung Malim.
Susulan itu, hari ini, seorang lelaki dipercayai teman lelaki kepada Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang disyaki membunuh wanita berkenaan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman terhadap suspek lelaki berusia 26 tahun yang merupakan penjawat awam dikeluarkan Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza.
Siasatan ke atas suspek dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. - Sinar Harian
#Nur Farah Kartini Abdullah #kes bunuh #penjawat awam #Sarawak