Keluarga bayi mati di pusat jagaan cadang ambil tindakan undang-undang jika ada unsur kecuaian

Bernama
September 11, 2024 19:16 MYT
Polis menyiasat kes kematian seorang bayi berusia sebulan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. - Gambar hiasan
KOTA BHARU: Keluarga bayi lelaki yang meninggal dunia selepas didapati tidak sedarkan diri setelah diberikan susu oleh jururawat, bercadang mengambil tindakan undang-undang ke atas pusat jagaan berpantang itu sekiranya terdapat unsur kecuaian dan dera ke atas bayi mereka.
Bapa bayi itu berkata anaknya dihantar ke pusat berkenaan beberapa hari selepas dilahirkan.
"Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup di pusat jagaan itu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena, namun saya serahkan kepada pihak polis untuk lakukan siasatan secara adil dan saksama.
"..dia dilahirkan dalam keadaan sihat di Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian 11 Ogos lepas," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Taman Desa Kujid, di sini hari ini.
Pagi tadi polis menahan reman seorang jururawat sebuah pusat jagaan berpantang di sini selama tujuh hari bagi membantu siasatan berkaitan kes pengabaian sehingga menyebabkan kematian seorang bayi berusia sebulan, semalam, dan difahamkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
#bayi maut #pusat jagaan berpantang #tindakan udang-undang #Kelantan
;