Keluar Sekejap ambil alih podsiar Jugador TV, rancang terus perluas empayar

Amanz
April 8, 2024 18:55 MYT
Keluar Sekejap diterajui oleh dua pengacara, iaitu Khairy Jamaluddin dan juga Shahril Hamdan. - Gambar/ Amanz
KELUAR Sekejap merupakan salah satu podsiar popular di Malaysia, membincangkan pelbagai perkara melibatkan hal ehwal semasa, perkembangan politik, polisi, dasar, dan sebagainya. Keluar Sekejap diterajui oleh dua pengacara, iaitu Khairy Jamaluddin dan juga Shahril Hamdan.
Selain podsiar utama, Keluar Sekejap, syarikat berkenaan juga turut telah memperkenalkan jenama podsiar kedua di bawah mereka, iaitu Kindred Stories. Podsiar Kindred Stories lebih memfokuskan kepada hal-hal rohani dan gaya hidup muslim, dan masih diterajui kedua-dua pengacara yang sama.
Menariknya, hari ini, Keluar Sekejap mengumumkan pengambilalihan podsiar luar pertama, iaitu Jugador TV. Pengambilalihan ini sekali gus menjadikan ia podsiar pertama tanpa kedua-dua pengacara berkenaan.
Jugador TV memfokuskan kepada perbincangan melibatkan hal ehwal sukan, terutamanya bola sepak – dan diterajui oleh tiga orang pengacara.
Pasukan Keluar Sekejap juga akan membantu Jugador TV dalam pelbagai aspek, dan menyasarkan saluran berkenaan mencapai sekitar 100,000 pelanggan menjelang penghujung 2024 ini.
Selari dengannya juga, Khairy berkongsi sasaran Keluar Sekejap dalam menjadi salah satu pemain media utama, selain menjadi alternatif kepada media-media lain di pasaran hari ini.
Beberapa pengumuman pengambilalihan podsiar lain juga dijangka menyusul dalam beberapa bulan akan datang – sekali gus membentuk empayar Keluar Sekejap yang lebih meliputi pelbagai topik-topik secara meluas. - Amanz
#Keluar Sekejap #perluas empayar #Khairy Jamaluddin #jugador
;