Keluar Dewan kerana intipati Bajet 2017 tidak tangani masalah rakyat - Azmin

Hafiz Marzukhi
Oktober 22, 2016 16:29 MYT
Mohamed Azmin berkata ahli pembangkang hanya memberi reaksi kepada soalan yang disifatkannya sebagai provokasi dari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Gambar fail
Tindakan ahli Parlimen Pakatan Harapan keluar dari Dewan Rakyat ketika pembentangan Bajet 2017 pada Jumaat adalah kerana intipatinya tidak menangani masalah rakyat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata ahli pembangkang hanya memberi reaksi kepada soalan yang disifatkannya sebagai provokasi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Jarang sekali pembentangan Bajet dipolitikkan. Malangnya, perkara tersebut berlaku semalam," kata Mohamed Azmin ketika ditemui selepas merasmikan Selangor Agrofest di Pantai Morib, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta untuk memberi komen kepada reaksi netizen di media sosial yang mengecam tindakan majoriti ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar Dewan Rakyat ketika pembentangan yang bermula jam 4 petang semalam.
"Bukannya kami hanya duduk di sana selama dua minit. Kami mendengarnya dengan teliti selama dua jam. Walau apa pun, kami akan pastikan ucapan Bajet diteliti dan kami akan tetap melibatkan diri dalam perdebatannya nanti," katanya.
BACA: Bajet 2017: Anggota Parlimen pembangkang keluar Dewan
Sebahagian anggota Parlimen daripada pakatan pembangkang bertindak keluar dewan ketika pembentangan Bajet 2017 di Dewan Rakyat, pada Jumaat.
Mereka terdahulu melakukan provokasi ke atas Perdana Menteri sekali gus menimbulkan kekecohan sehingga mengundang campur tangan Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Namun walaupun selepas ditegur Pandikar Amin, ahli Parlimen yang terlibat masih enggan duduk dan meneruskan provokasi.
#Bajet 2017 #Mohamed Azmin Ali #Najib Razak
;