Kelonggaran SOP Industri Kreatif: Kapasiti 30 peratus penonton langsung 'tak balik modal' - Penganjur
Hafizi Rosli
September 8, 2021 12:26 MYT
September 8, 2021 12:26 MYT
KUALA LUMPUR: Persembahan langsung muzik dengan maksimum kapasiti hanya 30 peratus penonton mungkin masih belum sesuai dianjurkan buat masa ini.
Menurut penganjur persembahan muzik Shirazdeen Karim, "tidak balik modal" sekiranya dianjurkan kerana kapasiti 70 peratus diperlukan untuk membiayai kos penganjuran, tanpa keuntungan.
"Untuk buat konsert secara langsung feasible cost untuk melangsungkan konsert ini adalah 70 peratus penonton baru boleh balik modal.
"Dengan 30 peratus kapasiti, agak mustahil untuk dilangsungkan. Sejujurnya kita tidak dapat buat persembahan sebab ia tidak feasible.
"Perlu ada skim untuk giatkan semula industri contohnya subsidi venue, dan bantuan dana supaya dapat cover semula kekurangan pendapatan untuk menjadikan konsert itu feasible untuk dilaksanakan," katanya ketika ditemu bual di program AWANI Pagi pada Rabu.
Jelas Shirazdeen, walaupun ada yang menyatakan pengajur boleh mengadakan persembahan secara dalam talian, beliau melihat ia juga tidak sesuai kerana kos penganjuran adalah sangat tinggi berbanding pendapatan yang diraih.
Justeru, beliau masih berharap agar kerajaan akan terus melibatkan pemain industri, untuk duduk semeja berunding sebelum SOP dibuat.
"Dari segi bantuan apa yang industri perlukan adalah satu skim yang kolektif dan perbincangan melibatkan semua agensi kerajaan harus duduk semeja supaya masalah pemain industri dapat diketahui.
"Barulah sesuatu keputusan dan inisiatif diambil tidak hanya sekadar ada saja, tapi solusi yang kolektif yang boleh diguna pakai oleh semua pemain industri," katanya.
Beliau turut berharap sokongan terus diberi untuk memastikan industri ini terus bertahan.
Pada Selasa, kerajaan mengumumkan kelonggaran SOP bagi industri kreatif termasuk aktiviti persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang telah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
AWANI Pagi: Kelonggaran SOP Fasa 1 Industri Kreatif