Kelonggaran rentas negeri beri manfaat kepada institusi kekeluargaan - Ismail Sabri
Bernama
Ogos 8, 2021 22:58 MYT
Ogos 8, 2021 22:58 MYT
KUALA LUMPUR: Kelonggaran merentas daerah dan negeri bagi pasangan jarak jauh dan ibu bapa yang telah melengkapkan vaksinasi untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun bermula Selasa depan memberi banyak manfaat kepada institusi kekeluargaan di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata anak-anak yang sedang membesar tidak seharusnya terpisah terlalu lama daripada ibu bapa mereka.
"Alhamdulillah, berkat doa semua kelonggaran bagi mereka yang sudah menerima dua dos vaksin telah pun diumumkan. Berkuat kuasa 10 Ogos ini, pasangan jarak jauh dibenarkan untuk merentas negeri dan daerah.
"Begitu juga kepada ibu bapa yang ingin bertemu dengan anak yang berumur 18 tahun dan ke bawah," menurutnya dalam hantaran di laman Facebook rasmi beliau.
Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa cadangan serta rintihan semua pihak termasuk yang diluahkan di ruangan komen akaun media sosial beliau akan dibawa ke mesyuarat seterusnya.
"Insya-Allah, sedikit sebanyak ia dapat membantu kita semua," katanya.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap termasuk kebenaran melaksanakan solat berjemaah di surau dan masjid serta merentas daerah atau negeri bagi pasangan suami isteri jarak jauh selain ibu bapa untuk berjumpa anak-anak di bawah umur 18 tahun.
-- BERNAMA
#vaksin
#rentas negeri
#rentas daerah
#Timbalan Perdana Menteri
#ismail sabri yaakob
#pasangan jarak jauh
#COVID-19
#PPN
#Fasa dua
#dua dos vaksin
#vaksinasi lengkap