Kelonggaran PPN boleh hilang jika rakyat terus lalai
Bernama
November 13, 2021 12:23 MYT
November 13, 2021 12:23 MYT
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran daripada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi jika mereka berterusan lalai.
Seri Paduka bertitah semua pihak mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada wabak COVID-19.
Al Sultan Abdullah dalam pada itu turut menasihati rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.
"Beta percaya, setiap badai yang melanda akan berhenti jua, yang gelap pasti akan menjadi terang dan yang kelam akan kembali bercahaya," titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada istiadat itu, seramai 44 daripada 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 hari ini sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan COVID-19.
Mengenai sambutan hari ini, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda.
"Alhamdulillah, situasi pandemik COVID-19 di negara kini semakin bertambah baik, negara mula beransur meniti ke fasa terakhir PPN yang memberi pelbagai kelonggaran kepada rakyat beta," titah Yang di-Pertuan Agong.
PPN yang merangkumi empat fasa diumumkan pada 15 Jun lepas oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin.
-- BERNAMA