Kelonggaran, pembukaan semula sektor ekonomi berjalan lancar - Hishammuddin

Ridauddin Daud
November 16, 2021 18:44 MYT
Hishammuddin berkata, selepas ini kerajaan akan memberikan perhatian terhadap pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kelonggaran dan pembukaan semula banyak sektor ekonomi secara meluas setakat ini berjalan lancar dan tidak menimbulkan masalah yang tidak dapat dibendung.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, situasi itu selari dengan matlamat kerajaan untuk membuka semula sektor ekonomi dengan berhati-hati, berperingkat dan selamat.
Menurutnya, selepas ini kerajaan akan memberikan perhatian terhadap pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat dan berhati-hati.
Tambah beliau, pembukaan itu merupakan satu aspek penting dalam peralihan ke fasa endemik dan ia tidak hanya melibatkan satu sektor tetapi merangkumi pelancongan, kemasukan pekerja asing dan perjalanan perniagaan.
“Juga yang terbaru, skim VTL (Laluan Perjalanan Vaksinasi) udara yang telah diumumkan untuk Singapura dan dibincangkan Perdana Menteri dengan Joko Widodo (Presiden Indonesia) dan beberapa negara lain.
“Ini kita minta Kementerian Luar Negeri (MOFA) untuk koordinasi secara dua hala dan dari segi operasinya, ia melibatkan Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Kementerian Dalam Negeri.
“Ini kerana ia melibatkan mereka dari luar negara di sempadan kita dan Jabatan Imigresen Malaysia juga perlu mengambil kira apa yang perlu mereka fikirkan dari sekarang,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen pada Selasa.
[TERKINI] Pemulihan Negara | Sidang media khas Menteri Kanan Pertahanan
Begitupun, katanya keputusan muktamad bergantung kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Tambah beliau, rakyat Malaysia perlu bersedia untuk melihat semua negeri beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam masa terdekat sekali gus lebih banyak kelonggaran akan dibenarkan.
“Keutamaan kerajaan dalam memerangi COVID-19 tidak akan berganjak, iaitu untuk menyelamatkan nyawa, menurunkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), meluaskan pemberian vaksinasi melalui dos penggalak dan vaksinasi remaja.
“Ia juga termasuk memupuk budaya ujian pengesanan COVID-19 kendiri. Ini amat penting memandangkan COVID-19 masih berada di sekeliling, kekal sebagai ancaman dan kita perlu belajar untuk hidup bersamanya,” ujarnya.
#Hishammuddin Hussein #pembukaan semula ekonomi #coviid-19 #VTL
;