Kelonggaran pembayaran cukai dan penalti di bawah program Pemerkasa PLUS

Bernama
Jun 3, 2021 13:11 MYT
Pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran disyorkan menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.
KUALA LUMPUR: Seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa+) pada 31 Mei 2021, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan menawarkan Kelonggaran Pembayaran Cukai dan Penalti, khusus untuk pembayar cukai yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Kelonggaran ini bertujuan untuk meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai mereka.
Kelonggaran yang ditawarkan adalah seperti berikut:
3.1 Penangguhan pembayaran penalti yang berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022, dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar. Penalti-penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti yang dikenakan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949;
3.2 Pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu untuk menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP); dan
3.3 Pertimbangan penyemakan semula penalti yang dikenakan sekiranya pembayar cukai mempunyai alasan yang kukuh. Pembayar cukai dikehendaki membuat rayuan ke atas penalti yang dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.
Kelonggaran ini hanya terpakai kepada pembayar cukai yang terjejas pendapatannya akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan PKP. Pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti yang dikehendaki oleh undang-undang yang berkuatkuasa.
Pembayar cukai yang berhasrat untuk memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.
Selain itu, LHDNM telah menyediakan Soalan Lazim Berkaitan Urusan Percukaian Dalam Tempoh PKP 3.0 (Frequently Asked Questions - FAQ) berkaitan perkara ini selain menyentuh isu-isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan dalam tempoh PKP 3.0.
FAQ tersebut boleh dicapai melalui pautan berikut:
Versi Bahasa Melayu:
http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf
Versi Bahasa Inggeris:
http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf
Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDNM melalui:
8.1. Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara);
8.2. HASiL Live Chat; dan
8.3. Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDNM di pautan pantas
https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.
--BERNAMA
#PEMERKASA Plus #COVID-19 #PKP #ekonomi #Melayu #cukai #undang-undang #Muhyiddin Yassin #pandemik #kelonggaran #penalti #pembayar cukai #cukai tertunggah #penjadualan semula #fail cukai pendapatan #cukai pendapatan
;