Kelonggaran kepada majikan yang terlewat mengambil pekerja asing - Imigresen
Bernama
Oktober 6, 2022 04:20 MYT
Oktober 6, 2022 04:20 MYT
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan memberi kelonggaran kepada majikan yang terlewat untuk mengambil pekerja asing, dengan maksima tempoh yang dipertimbangkan adalah selama 10 jam, dengan syarat majikan boleh dihubungi dalam tempoh berkenaan.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata majikan juga boleh diwakili oleh pihak yang dilantik, atau agensi pekerjaan swasta dengan mengeluarkan surat perwakilan kuasa.
Beliau berkata peraturan mewajibkan majikan mengambil pekerja asing di pintu masuk dikuatkuasakan sejak 2014 dan penetapan tempoh pengambilan pekerja asing pada waktu berkenaan asalnya ditetapkan selama 72 jam, sebelum dipendekkan kepada 48 jam, dan seterusnya kepada 24 jam.
"Bermula 2015, tempoh masa untuk majikan mengambil pekerja asing adalah enam jam," katanya.
"Rasional pelaksanaan ini adalah bagi memastikan semua pekerja asing baharu mempunyai majikan yang sah dan tidak menjadi mangsa pemerdagangan orang atau tinggal sebagai pendatang tanpa izin (PATI) di Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Khairul Dzaimee berkata mulai Januari hingga 3 September lepas, JIM telah menerima permohonan untuk membawa masuk pekerja asing seramai 319,945 dan daripada jumlah itu, sebanyak 308,189 Visa Dengan Rujukan (VDR) telah diluluskan yang merangkumi 247,985 secara eVDR (elektronik VDR) dan 60,204 secara manual.
Katanya 11,756 permohonan masih dalam proses untuk pertimbangan kelulusan dan akan diselesaikan dalam masa tujuh hari bekerja.
Beliau berkata kelulusan VDR diberikan mengikut sektor pembantu rumah asing ialah 25,980; pembinaan sebanyak 17,977; perkhidmatan sebanyak 60,488; perkilangan sebanyak 145,774; perladangan sebanyak 39,008 dan pertanian sebanyak 18,962.
Khairul Dzaimee berkata jumlah pekerja asing baharu yang masuk bagi tahun ini sehingga 2 Okt lepas adalah 118,229 orang, sementara jumlah pekerja asing semasa dalam negara yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah 1,303,398 orang.
-- BERNAMA
#Jabatan Imigresen Malaysia
#Khairul Dzaimee Daud
#kelonggaran kepada majikan
#tempoh pengambilan pekerja asing di pintu masuk