Kelonggaran individu lengkap divaksin dibuat berhati-hati - Hishammuddin
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 9, 2021 20:22 MYT
Ogos 9, 2021 20:22 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan dalam memberi kelonggaran kepada individu-individu yang telah lengkap divaksin dibuat dengan berhati-hati atau 'calculated and careful approach'.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata ketetapan itu mengambil kira manfaat yang akan diterima 3.97 juta individu di negeri-negeri Fasa 2 dan 3 yang telah mendapat dua dos vaksin sehingga semalam.
"Kerajaan sedar ada kebimbangan yang timbul terutamanya susulan penularan varian-varian baharu seperti varian Delta.
"Kerajaan tentunya telah melakukan pemerhatian yang teliti mengenai perkara ini.
"Ini termasuklah mengambil kira data-data penilaian risiko yang diperolehi Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya pada sidang media secara maya pada Isnin.
Ujar beliau, salah satu dapatan penting yang menjadi pertimbangan termasuk 96 peratus kes jangkitan harian berada dalam kategori satu dan kategori dua.
Justeru katanya, vaksin-vaksin yang dibekalkan kepada masyarakat di negara ini berkesan dalam membantu memberikan perlindungan terhadap kesan yang lebih memudaratkan.
"Dengan pelaksanaan ini, langkah-langkah kawalan dan pencegahan mesti terus dilaksanakan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.
"Ini termasuklah memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan menjaga kebersihan diri," ujar beliau.
Pada masa yang sama, beliau berkata setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan agensi serta kementerian berkaitan dalam membenarkan kemudahan-kemudahan yang diumumkan mesti dipatuhi sebaiknya.
Beliau percaya, rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang bertanggungjawab dan yakin semua penduduk Malaysia mampu keluar bersama-sama daripada belenggu pandemik ini.
#Hishammuddin Hussein
#kelonggaran rentas negeri
#kelonggaran dua dos vaksin
#rentas negeri
#pelitup muka
#pandemik
#SOP
#PICK