Kelonggaran Fasa 2: MB Kelantan bimbang rakyat tak patuh SOP di tempat awam
Muhafandi Muhamad
Ogos 12, 2021 09:26 MYT
Ogos 12, 2021 09:26 MYT
KOTA BHARU: Kerajaan negeri melahirkan kebimbangan berlaku peningkatan kes COVID-19 di Kelantan apabila beberapa kelonggaran dibenarkan seiring peralihan fasa mengikut Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Dalam hal ini, Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob mengakui beliau bimbang dengan kurangnya pematuhan prosedur operasi standard (SOP) rakyat terutamanya di kawasan tumpuan ramai.
Katanya, kelonggaran diberikan kepada mereka yang lengkap dua dos vaksin untuk makan di kedai dan rentas daerah perlu disertai dengan pematuhan SOP ditetapkan.
Berdasarkan pemerhatian dan maklumat diterima, tambah beliau, tahap kepatuhan kepada SOP adalah kurang khususnya di pasar awam.
Menurutnya, rakyat negeri itu sepatutnya mengambil peluang kelonggaran diberikan dan bukannya melanggar SOP yang ditetapkan.
"Mengikut maklumat yang kita terima dan kita lihat, di pasar-pasar awam, kurang mematuhi SOP. Jadi kita harap rakyat berpeluang ambil kesempatan ini, dan peniaga juga, patuhilah SOP.
"Sebab, kita ada kebimbangan kita. Sebab, sudah pun dapat bergerak secara terbuka. Jadi, kita bimbang," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kebenaran makan di kedai serta rentas daerah dan aktiviti lain bagi individu yang sudah melengkapi dua dos suntikan untuk negeri di bawah Fasa 2 ke atas, mulai 10 Ogos lalu.
Kelantan berada dalam kategori Fasa 2 bersama Pulau Pinang, Perak, Pahang, Terengganu dan Sabah.
Bagaimanapun, kes jangkitan kekal tinggi di negeri itu dengan pada Rabu, Kelantan merekodkan angka melebihi 1,250 kes, tertinggi dicatatkan sejak peralihan fasa.
R-naught atau kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Kelantan juga tertinggi dan melebihi purata kebangsaan apabila berada pada paras 1.40 pada Rabu.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan turut memaklumkan tiga kes varian Delta dikesan setakat ini dengan kesemuanya di daerah Pasir Puteh.
#COVID-19
#SOP
#PPN
#Fasa 2
#Ahmad Yakob
#bimbang
#pasar awam
#kadar kebolehjangkitan
#jangkitan
#peniaga
#rentas daerah
#vaksin
#Pelan Pemulihan Negara
#Kelantan
#kelonggaran
#suntikan