Kelonggaran aktiviti pelancongan dalam negeri akan beri impak positif - Abdul Karim

Fadilah Sulaiman
Ogos 9, 2021 20:07 MYT
Sarawak antara negeri yang telah melangkah ke Fasa 3 PPN selain Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa Rabu lalu (4 Ogos). FOTO: BERNAMA
KUCHING: Kelonggaran aktiviti pelancongan dalam negeri bagi individu yang lengkap menerima suntikan vaksin COVID-19 di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) akan memberi kesan positif kepada ekonomi domestik di Sarawak.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dengan kelonggaran itu pemain industri dan tenaga kerja tempatan yang terjejas sepanjang tempoh pandemik boleh menjana pendapatan semula.
“Kesan kelonggaran akan membawa kesan positif kepada tenaga kerja tempatan yang kini dapat mencari pekerjaan dan ini akan menyumbang kepada peningkatan ekonomi domestik kita apabila kedua-dua majikan dan pekerjanya dapat kembali bekerja.
“Kami menyokong penuh pembukaan semula hotel dan inap desa yang terpaksa ditutup sejak tercetusnya COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun ujarnya, langkah berjaga-jaga masih perlu dipatuhi dan pelanggan perlu menunjukkan sijil digital vaksinasi COVID-19 di aplikasi MySejahtera sebagai bukti telah melengkapkan vaksinasi.
Menyentuh mengenai kelonggaran aktiviti rekreasi dan sukan, Karim berkata ia akan membolehkan masyarakat menjalani aktiviti sihat seterusnya meningkatkan tahap kesihatan mereka namun tetap tertakluk kepada SOP yang ketat.
“Walaupun kelonggaran terhad kepada sukan tanpa kontak fizikal seperti joging, berbasikal, papan luncur, memancing, golf, tenis dan badminton, ia masih merupakan berita baik kepada masyarakat terutama dalam kalangan belia yang harus didorong untuk turut serta dalam gaya hidup aktif.
“Pengumuman mengenai langkah-langkah kelonggaran adalah permulaan awal yang baik bagi negara kita bergerak maju ke arah kembali normal dalam kehidupan seharian kita yang terkesan pandemik COVID-19 dan bersama-sama kita terus menyokong usaha kerajaan dalam menghentikan wabak tersebut,” tambahnya.
Untuk rekod, Sarawak antara negeri yang telah melangkah ke Fasa 3 PPN selain Perlis dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa Rabu lalu (4 Ogos).
Namun Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Selasa lalu memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan Fasa 3 PPN di Zon Selatan Sarawak.
Ia melibatkan daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Asajaya, Serian dan Tebedu sehingga penularan kes COVID-19 menunjukkan tren penurunan yang memuaskan.
#PPN Sarawak #COVID-19 di Sarawak #Pelan Pemulihan Negara #Abdul Karim Rahman Hamzah #perintah kawalan pergerakan #aplikasi MySejahtera
;