Kelindan maut, pemandu lori parah dalam kemalangan dipercayai akibat mengantuk

Adie Sufian Zulkefli
Mei 19, 2020 18:36 MYT
JBPM: Sepasukan anggota bomba dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian. - Gambar Astro AWANI
Dipercayai akibat pemandu mengantuk, seorang kelindan maut apabila lori tiga tan yang sedang dalam perjalanan menghantar barang terbabas ke dalam parit di kilometer 65.7 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, berhampiran susur keluar Pendang.
Dalam kejadian jam 9 pagi Selasa, mangsa berusia 40-an dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami manakala pemandunya berusia 30-an parah.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, sebaik menerima panggilan berhubung kejadian sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang bersama sembilan anggota dan dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, sebaik tiba anggotanya membantu mengeluarkan mangsa daripada lori terbabit.
Mohamadul Ehsan berkata, pemandu lori yang cedera itu patah tangan dan kaki manakala kelindannya warga Bangladesh disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba tidak lama kemudian.
Beliau berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani oleh EMRS BBP Pendang manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
#Hospital #Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia #Kedah #Kelindan maut #kemalangan #kemalangan jalan raya #mati #meninggal dunia
;