Kelindan maut, pemandu cedera nahas dua lori di PLUS

Abd Razak Mohd Ali
Julai 10, 2024 11:00 MYT
Seorang kelindan lori maut, manakala pemandunya cedera selepas kenderaan mereka dipercayai dilanggar sebuah lori di Kilometer 245.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat Kuala Kangsar, pagi tadi. - Gambar ihsan bomba
KUALA KANGSAR: Seorang kelindan lori maut, manakala pemandunya cedera selepas kenderaan mereka dipercayai dilanggar sebuah lori di Kilometer 245.1, Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, dekat sini, pagi tadi.
Kelindan berusia 25 tahun itu yang tersepit, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak perubatan, manakala pemandu berusia 40 tahun mengalami patah kaki.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 7.05 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan dua buah lori, sebuah membawa ais dipercayai dilanggar sebuah lagi lori yang telah tiada di lokasi kejadian.
Katanya, terdapat dua orang mangsa lelaki, seorang kelindan berumur 25 tahun telah tersepit dan disahkan maut.
Seorang lagi mangsa, pemandu berumur 40 tahun, yang mengalami kecederaan pada kaki telah dikeluarkan oleh orang awam.
Sabarodzi berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota menggunakan peralatan menyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit serta disahkan maut, sebelum diserahkan pada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital oleh pasukan perubatan yang terlebih dahulu sampai di lokasi.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Muhammad Khalid Mohd Idris tamat jam 8.27 pagi.
#kemalangan #kelindah maut #pemandu cedera #Lebuhraya Utara Selatan
;