Kelindan maut, pemandu cedera, lori tiga tan rempuh belakang treler
Abd Razak Mohd Ali
Jun 21, 2023 07:30 MYT
Jun 21, 2023 07:30 MYT
TELUK INTAN: Seorang kelindan lori maut manakala pemandunya cedera apabila kenderaan mereka melanggar belakang sebuah treler di Jalan Sungai Manik, di sini, awal pagi ini.
Kelindan yang dikenali sebagai Nasir Imran, 60 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Sementara itu, pemandu lori tiga tan itu, Mohammad Faiz Abdullah, 25 tahun, mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 2.29 pagi.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan yang melanggar belakang lori treler, dan terdapat dua orang mangsa.
“Pemandu mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM manakala kelindan telah tersepit dan disahkan maut,” katanya di sini.
Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Wan Mohd Zakari Wan Mohd Nor tamat jam 4.05 pagi.